Israel langgar gencatan senjata, 7 penduduk Gaza maut

8 hours ago 4

BANDAR GAZA – Tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya tujuh warga Palestin di Semenanjung Gaza semalam sekali gus melanggar perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui minggu lalu, lapor portal berita Middle East Eye.

Menurut pegawai kesihatan tempatan, enam orang terbunuh di Bandar Gaza dan seorang lagi di Khan Yunis.

Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam serangan udara ketika mereka sedang memeriksa rumah masing-masing di kawasan kejiranan Shujaiya, Bandar Gaza, demikian menurut Pasukan Pertahanan Awam Palestin.

Sementara itu, satu serangan dron di bandar al-Fukhari, timur Khan Yunis turut mengorbankan seorang mangsa.

Serangan-serangan itu merupakan pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada Jumaat lalu.

Perjanjian itu dengan jelas menyatakan bahawa semua operasi ketenteraan, termasuk pengeboman udara, artileri dan operasi penyasaran akan digantung.

Tentera Israel mengesahkan telah melancarkan serangan di Shujaiya dengan mendakwa ia dilakukan bagi menyasarkan individu yang melintasi garisan penempatan tentera yang dipersetujui selepas tembakan amaran dilepaskan.

Namun, tentera Rejim Zionis tidak memberikan sebarang komen berhubung serangan dron di Khan Yunis.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem, mengecam serangan tersebut dan menyifatkannya sebagai pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata.

“Pembunuhan beberapa penduduk Gaza oleh tentera Israel pagi ini (semalam) melalui serangan peluru dan tembakan adalah pelanggaran jelas terhadap gencatan senjata,” kata Qassem dalam satu kenyataan.

Beliau turut menggesa pihak antarabangsa supaya menuntut Israel bertanggungjawab dan memastikan rejim itu mematuhi komitmen yang telah dibuat kepada para pengantara berkaitan penghentian permusuhan di Semenanjung Gaza. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |