PARIT BUNTAR – “Dia sempat jumpa ibu dan beritahu itu kali terakhir mereka bersua.” Demikian luahan sebak Munah Rashidi, 87, nenek kepada Muhamad Nor Amin Sahrudin, 27, yang maut dalam satu kemalangan ngeri di hadapan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Taiping awal pagi tadi.
Warga emas itu berkata, cucunya yang mesra dipanggil Amin sempat pulang ke rumah ibu kandungnya di Bagan Serai dua hari lalu sebelum menyatakan bahawa pertemuan tersebut mungkin terakhir buat mereka.
“Amin tunjuk perangai pelik sejak beberapa hari lepas. Dia jadi lebih pendiam dan gurauannya pun macam lain daripada biasa.
“Semalam, dia bergurau dengan adik dia dan kata, ‘ini kali terakhir abang bergurau’ dan kami fikir dia main-main, tak sangka itu petanda dia pergi selamanya,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Parit Haji Manan, di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi tadi, Proton Wira yang dipandu Amin dipercayai merempuh belakang sebuah treler muatan minyak kelapa sawit di Jalan Taiping–Kamunting. Impak kuat menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Munah berkata, Amin keluar rumah sekitar pukul 9 pagi semalam untuk menghadiri satu majlis kenduri di Kuala Gula sebelum menuju ke Taiping untuk bertemu rakannya. Namun, pada pukul 3 pagi, keluarga dikejutkan dengan panggilan polis memaklumkan berita duka tersebut.
“Sejak kecil dia tinggal dengan saya, sebab mak dia kerja kilang. Dialah yang paling rapat dengan saya, selalu bantu saya urus rumah. Pemergian dia benar-benar buat saya terasa sangat,” katanya. Difahamkan Allahyarham merupakan anak kelima daripada lapan beradik dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Batu, Kuala Kurau petang ini.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.03 pagi berhubung kemalangan tersebut.
“Pemandu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan. Mangsa tidak tersepit dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE