Individu lahir 1985 hadapi cabaran penyakit

1 month ago 48

PETALING JAYA – Ramai pengguna media sosial berkongsi pengalaman peribadi dan pandangan mereka mengenai amaran kesihatan bagi individu yang dilahirkan pada tahun 1985, yang disarankan menjalani ujian kesihatan bagi memantau keadaan tubuh mereka.

Tinjauan Kosmo! di laman sosial mendapati bahawa ramai yang memberi komen tentang kesihatan mereka di usia 40-an, yang turut merangkumi penyakit kronik dan kepentingan pemeriksaan kesihatan berkala.

“Saya lahir pada tahun 1985 dah hidap macam-macam penyakit kronik. Keluar masuk hospital tapi reda di atas ketentuan-Nya. Sakit, ajal, maut, tak mengira umur. Jadi jagalah kesihatan baik-baik,” kongsi @aspalela46, mengingatkan orang ramai tentang pentingnya menjaga kesihatan walaupun pada usia muda.

Sementara itu, @Norazilaayob, yang juga dilahirkan pada 1985, menyatakan bahawa dia telah bersara penuh pada usia 40 tahun setelah berkhidmat selama 21 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, pemeriksaan kesihatan secara berkala setiap empat bulan sangat penting, terutama kerana dia mengalami masalah tekanan darah tinggi.

Bagi @Norhayati Mohamad155 pula, dia kini menghadapi masalah saraf dan sedang menjalani rawatan. “Semoga diberikan kesihatan buat semua,” katanya, mendoakan kesihatan yang lebih baik untuk dirinya dan orang lain.

Namun, pengalaman lebih mencabar dikongsi oleh @Man Pee Dee yang turut dilahirkan pada 1985 dan kini berhadapan dengan kegagalan buah pinggang tahap akhir (CKD) selepas menjalani dialisis selama tiga tahun.

“Empat tahun lepas, saya kena masalah saraf. Sekarang dah tiga tahun buat dialisis. Doakan saya terus kuat, kawan-kawan,” luahnya, meminta doa agar dia terus diberi kekuatan.

Komen-komen ini menunjukkan betapa pentingnya pemeriksaan kesihatan berkala dan langkah pencegahan yang perlu diambil bagi menjaga kesihatan, terutama apabila seseorang mencapai usia 40-an.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak mengabaikan tanda-tanda kesihatan yang mungkin muncul dan sentiasa berwaspada terhadap risiko penyakit kronik. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |