MINNEAPOLIS, MINNESOTA – Seorang anggota imigresen di Minneapolis menembak mati seorang wanita semalam dalam kejadian yang mengundang kemarahan orang ramai meskipun Presiden Donald Trump berkata, anggota tersebut bertindak untuk mempertahankan diri.
Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey menganggap dakwaan pentadbiran Trump bahawa wanita itu menyerang ejen persekutuan sebagai ‘omong kosong’.
Beliau menyeru ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) yang menjalankan serbuan besar-besaran untuk menangkap pendatang tanpa izin meninggalkan bandar tersebut.
Beribu-ribu orang berkumpul pada majlis berkabung di tempat kejadian, manakala penunjuk perasaan turut berhimpun di Manhattan, New York.
Video kejadian yang dikongsi di media sosial menunjukkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda menghalang kenderaan ICE yang tidak bertanda ketika mereka memandu di jalan dilitupi salji.
Pemandu terbabit yang dinamakan media tempatan sebagai Renee Nicole Good, 37, cuba memandu pergi ketika anggota-anggota ICE menghampiri dan cuba membuka pintu kereta mangsa.
Seorang ejen melepaskan tiga das tembakan menggunakan pistol ketika kenderaan itu beredar.
Trump yang telah mengarahkan serbuan anti imigran di seluruh negara, menuduh mangsa ‘dengan kejam’ cuba melanggar ejen tersebut.
“Wanita yang memandu kereta itu berada dalam keadaan tidak terurus, menghalang dan melawan,” katanya di platform Truth Social sambil menambah, ejen tersebut menembak mangsa untuk mempertahankan diri.
Insiden semalam itu berlaku semasa tindakan protes diadakan terhadap penguatkuasaan imigresen di selatan Minneapolis dalam negeri Minnesota. – AFP

1 day ago
7

















































