REMBAU – Seorang ibu tunggal sanggup melakukan pelbagai kerja termasuk memotong rumput demi membesarkan tujuh anaknya sehingga berjaya ke menara gading.
Norhasikin Mohd. Sarif, 44, berkata, selepas kematian suami empat tahun lalu dia terpaksa melakukan kerja-kerja kampung seperti memotong rumput, memasang khemah demi menyara anaknya dan menerima pendapatan sekitar RM600 sebulan.
“Gaji itu dicampur dengan bantuan Baitulmal digunakan sebaiknya untuk keperluan anak-anak belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM),” jelasnya ketika ditemui di rumahnya di Kota semalam.
Tambah Norhasikin, walaupun hidup dalam serba kekurangan anak-anaknya yang berumur 13 tahun hingga 21 tahun tidak pernah merungut walaupun hampir setiap hari terpaksa makan telur dan nasi goreng.
“Apa yang saya bangga, anak-anak sentiasa bersemangat untuk belajar termasuk pada hari cuti untuk ke kelas tambahan hasil tajaan individu pemurah,” katanya.
Jelasnya, dengan mempunyai pendapatan yang kecil dia tetap berbangga dengan anak-anaknya yang sangat memahami dan sudah pandai berjimat sejak kecil.
Dalam pada itu, anak sulung Norhasikin, Nurain Abdul Aziz, 21, yang kini menuntut di UiTM dalam jurusan Teknologi Perniagaan di Melaka bersama adiknya Muhammad
Zul Faqar, 20, bertekad untuk mengubah nasib keluarga apabila tamat belajar nanti.
Jelasnya, setiap hari dia hanya akan berbelanja RM10 sahaja untuk makan dengan sekali makan akan membeli nasi berharga RM4 hingga RM5 sahaja.
“Jadi, memang cukup untuk belanja makan malam sekali. Saya memang dah tekad untuk belajar betul-betul dan buat ibu bangga,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun terpaksa berjimat seperti ini, dia berbangga mempunyai ibu yang sanggup membuat apa sahaja demi menyekolahkan mereka adik-beradik.
Bagi yang ingin membantu keluarga ini boleh memberi sumbangan ke akaun Norhasikin Mohd. Sarif, Bank Simpanan Nasional 05117-41-00000518-0.

2 hours ago
3

















































