ARAU – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah supaya hubungan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan diperkukuhkan bagi memastikan pembangunan di Perlis dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Baginda bertitah, sebagai sebuah negeri kecil, Perlis tidak mempunyai kemampuan yang besar untuk melaksanakan pembangunan secara bersendirian tanpa bantuan Kerajaan Pusat.
“Hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan mestilah kuat. Kalau kita asingkan, susah kita.
“Kita perlu bantuan daripada Persekutuan. Bila ada masa, jika perlu, saya minta Exco (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) pergilah berjumpa pegawai-pegawai atau menteri berkenaan portfolio,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco membabitkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Istana Arau, di sini hari ini.
Mereka ialah ADUN Titi Tinggi, Izizam Ibrahim; ADUN Sena, Marzita Mansor; ADUN Pauh, Megat Hashirat Hassan dan ADUN Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, pertemuan tersebut boleh dibuat bagi mendapatkan pandangan dan bantuan yang diperlukan.
“Kalau tidak, mereka tidak akan tahu apa yang kita perlukan. Kita minta 10 pun tak apa, kalau dapat dua alhamdulillah, nanti minta pula.
“Kita perlukan bantuan daripada orang dan jangan megah. Kita terimalah hakikat bahawa kita perlukan bantuan,” titah Raja Perlis.
Dalam titah yang sama, baginda mengingatkan semua wakil rakyat supaya mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri melebihi kepentingan parti politik masing-masing dalam melaksanakan tugas serta amanah yang dipikul.
“Utamakan rakyat dan negeri, berikan keutamaan. Semasa menjadi wakil rakyat, lupakanlah parti mana tuan-tuan wakili kerana tuan-tuan wakil rakyat, menjaga rakyat. Rakyat tidak kira parti apa pun.
“Rakyat perlu bantuan, kita bagi bantuan. Jangan ikut parti, kalau ikut parti, rosak. Utamakan rakyat lebih daripada parti,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

22 hours ago
8

















































