Harimau Malaya ‘lumpuh’ jumpa Thailand

1 month ago 30

HARAPAN skuad negara untuk mencabar Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok malam esok dengan kekuatan penuh tidak kesampaian selepas kehilangan beberapa tonggak penting yang dipanggil semula mewakili kelab masing-masing minggu ini.

Difahamkan, Harimau Malaya hampir pasti kehilangan beberapa pemain kerana mengalami kecederaan, manakala empat lagi pemain dilepaskan ke pangkuan kelab bagi mengharungi aksi Piala Malaysia.

Kemenangan 3-2 diraih ke atas Timor Leste kelmarin terpaksa dibayar dengan harga mahal apabila Syafiq Ahmad dan Darren Lok mengalami kecederaan yang dilihat agak teruk.

Selain Darren, Sabah FC telah memanggil kembali tiga pemainnya bagi mengharungi aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Kuching City FC pada Ahad ini.

Ini bukanlah kali pertama sebenarnya kerana dua pemain Penang FC, Syamer Kutty Abba dan Adib Raop turut dilepaskan awal minggu ini sekali gus terlepas aksi menentang Timor Leste kelmarin.

Pengendali skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente mengakui ‘pening kepala’ dengan situasi semasa selepas barisan pemain gagal memberikan fokus sepenuhnya kepada tugasan Harimau Malaya.

Menurutnya, pemain negara tidak dapat fokus kerana mereka tidak hanya perlu bermain untuk aksi Piala ASEAN 2024, sebaliknya perlu bermain untuk kelab yang diwakili dalam saingan domestik.

“Bagaimana nak fokus pada kejohanan ini apabila kelab-kelab meminta mereka kembali dan mereka lewat melaporkan diri.

“Situasi ini sangat sukar untuk pemain tetapi saya percaya mereka cuba buat yang terbaik untuk berikan komitmen penuh.

“Pasukan kebangsaan sepatutnya sentiasa berada dalam situasi terbaik dan semua pihak perlu memberi sokongan.

“Apabila barisan kejurulatihan sentiasa berdepan isu seperti ini, keadaan bertambah sukar,” katanya.

Sejak dianjurkan pada 1996, Harimau Malaya hanya pernah sekali muncul juara pada 2010, manakala kali terakhir bergelar finalis sewaktu edisi 2018.

Read Entire Article
Pertanian | | | |