PETALING JAYA – Harga RON95, RON97 dan diesel terus melonjak dengan masing-masing kepada RM3.87, RM5.15 dan RM5.52 seliter bermula tengah malam ini.
Bagaimanapun, RON95 bersubsidi (BUDI95) masih kekal pada harga RM1.99 seliter selain harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan turut kekal RM2.15 seliter.
Kementerian Kewangan berkata, konflik Asia Barat yang berlarutan telah melonjakkan harga minyak mentah global lebih 40 peratus hingga melepasi AS$100 (RM396.50) setong, sekali gus meningkatkan risiko gangguan bekalan minyak dunia.
Katanya, dalam keadaan ini, Kerajaan MADANI mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter melalui BUDI95 untuk melindungi rakyat, manakala harga bahan api lain diselaraskan secara berperingkat selaras dengan kenaikan harga global sejak penghujung Februari 2026.
“Selaras dengan Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April 2026 adalah seperti berikut iaitu harga runcit RON97 RM5.15 seliter, RON95 tanpa subsidi (RM3.87 seliter) dan diesel di Semenanjung (RM5.52 seliter).
“Kerajaan MADANI kekal komited untuk melindungi kesejahteraan rakyat dalam keadaan pasaran minyak global yang tidak menentu. Walaupun Malaysia ialah negara pengeluar minyak, harga bahan api domestik tetap dipengaruhi oleh pasaran global kerana sebahagian besar bekalan diperoleh dari pasaran antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, seiring dengan aspirasi Ekonomi Madani, kerajaan akan terus memastikan manfaat dikembalikan kepada rakyat dengan melindungi mereka daripada tekanan kenaikan kos bahan api.
“Kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan kawalan ke atas pembelian diesel, terutamanya di Sabah, Sarawak dan Labuan, bagi menangani risiko ketirisan,” katanya.
Dalam pada itu, jelasnya, antara langkah yang diambil bagi melindungi rakyat adalah melalui BUDI95, rakyat yang layak terus menikmati RON95 pada harga RM1.99 seliter, manakala diesel bagi pengangkutan awam dan logistik darat kekal pada RM2.15 seliter, dengan beban subsidi kerajaan melebihi RM3 bilion sebulan.
“Bantuan diesel individu dipertingkatkan apabila kadar BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi dinaikkan kepada RM300 pada bulan Mac 2026, berbanding RM200 sebulan sebelum ini,” katanya.
Jelasnya, pemantauan dan penguatkuasaan diperkukuh bagi memastikan bekalan bahan api kekal stabil serta membendung ketirisan dan penyalahgunaan subsidi, termasuk di kawasan sempadan.
“Kawalan penjualan turut diperketat, dengan larangan penjualan RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing terus berkuat kuasa, manakala pembelian bahan api melebihi 20 liter di luar tangki tanpa permit khas juga tidak dibenarkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
3













![[VIDEO] ‘Hati-hati ada yang memerhati dari atas jejambat’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-24-at-19.36.50.jpeg)
![[VIDEO] Kancil dikejar polis rempuh khemah jamuan penduduk](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-24-at-20.36.47.jpeg)


































