Hakim baharu dengar bicara bela diri Bung Moktar, Zizie Izzette

2 months ago 54

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan tujuh hari bermula April 2025 bicara bela diri Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad atas tiga pertuduhan rasuah RM2.8 juta.

Tarikh-tarikh itu ialah 9 hingga 11 April, 14 dan 15 April serta 5 dan 6 Mei 2025 yang mana perbicaraan bela diri itu didengar dihadapan hakim baharu Rosli Ahmad.

Sebelum ini, pada peringkat perbicaraan pendakwaan kes itu telah didengar oleh Hakim Rozina Ayob yang mana hakim itu telah memerintahkan kedua-dua tertuduh membela diri padan2 September 2022 sebelum hakim itu berpindah ke tempat lain.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Law Chin How memohon supaya mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan dan mengekalkan wang jaminan RM100,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Dua lagi TPR yang mengendalikan kes ialah Mohamad Fadly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide.

Semasa prosiding, peguam Datuk Seri K. Kumaraendran, Ashok Athimulan dan Ridha Abdah Subri masing-masing mewakili Bung Moktar dan Zizie Izette memaklumkan pihak pembelaan akan memanggil antara lima hingga enam saksi pembelaan termasuk anak guam mereka.

Pada 18 November lalu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berkenaan selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan pasangan itu.

Pada 7 September tahun lalu, Bung Moktar dan Zizie dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan itu setelah Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan mereka terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September 2022 yang memerintahkan pasangan tersebut membela diri.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan rayuan pada 18 September tahun yang sama.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Bung Moktar, 65, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa pada 3 Mei 2019 menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette, 47, di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Pertuduhan ketiga Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015.

Dalam pada itu Zizie Izette turut didakwa bersubahat dengan beliau melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Pendakwaan terhadap Bung Moktar dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara Zizie Izette didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) yang membawa hukuman yang sama.

Sebelum ini, pihak pendakwaan menyenaraikan tujuh alasan dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan pasangan suami isteri itu selaku responden. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |