Hafizh, Daddy Hood ikon ABKL

7 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Dalam usaha memperkukuhkan jenama, Adik Beradik Kuala Lumpur (ABKL) mengambil keputusan melantik bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah serta personaliti permainan video, Nureddy Nursal sebagai ikon rasmi.

Pelantikan dua individu berpengaruh itu menyaksikan penyertaan rasmi mereka dalam Adik Beradik Roleplay (ABRP), iaitu dunia maya berasaskan permainan video popular, Grand Theft Auto (GTA) yang dibangunkan ABKL.

Kehadiran Hafizh dan Nureddy yang lebih mesra dengan panggilan Daddy Hood bukanlah satu perkara pelik memandangkan kedua-dua figura itu sudah dikenali dalam bidang pentsriman langsung.

Hafizh berkata, penglibatannya dalam ABRP bukan sekadar hobi tetapi ia boleh menjadi satu platform untuk dia melepaskan tekanan selepas sibuk dengan tugas hakiki selaku pelumba pasukan JDT Racing.

“Saya memang suka main permainan video bila ada masa terluang tetapi ABRP lain daripada yang lain sebab ia dunia komuniti sebenar. Semua pemain ada watak masing-masing dan saling berinteraksi.

“Dalam ABRP, saya bukan memegang watak sebagai pelumba tetapi mekanik bernama Yaka Leng. Dari situlah saya mula kenal ramai kawan baharu selain belajar banyak benda positif,” katanya.

TANGKAP layar yang memaparkan komuniti besar dalam ABRP. – ABKL

Tambahnya, dia mahu menjadikan permainan video itu sebagai medan untuk menyampaikan mesej positif kepada anak-anak muda selain menjadikan platform tersebut bagi menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.

Sementara itu, Nureddy yang memegang watak Joe Rimau mengakui tidak sangka menerima sambutan luar biasa selepas kembali ke dunia penstriman selepas lima tahun.

“Sejak menyertai ABRP, jumlah pengikut saya naik lebih 1,000 peratus. Watak Joe Rimau ada nilai sentimental bagi saya dan komuniti ABRP memang kuat. Selagi watak ini beri manfaat, saya akan terus bermain,” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif ABKL, Muzammil Mudzakir yang lebih mesra disapa MelRomeo menjelaskan, pemilihan Hafizh dan Nureddy bukanlah disebabkan nama sahaja tetapi nilai kekeluargaan serta semangat komuniti yang dibawa.

“Mereka bukan sekadar wajah depan tetapi ikon sebenar yang hidup bersama komuniti ABKL. Kedua-duanya aktif bermain, berinteraksi selain memberi inspirasi kepada pemain-pemain lain,” jelasnya.

Pada masa sama, ABKL turut memiliki beberapa perancangan menjelang 2025-2026, termasuk pelancaran musim baharu ABRP, kolaborasi bersama jenama tempatan, Makan Malam Tahunan dan Anugerah Komuniti 2025 serta pembangunan Hab Pencipta ABKL. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |