‘Hadiah hari guru jangan bagi ‘mug’, penuh almari dah’

7 hours ago 8

PETALING JAYA – Menjelang sebulan lagi sambutan Hari Guru, satu perkongsian lucu tetapi penuh makna di media sosial mencuri perhatian ramai apabila ramai pendidik berseloroh meminta ibu bapa dan murid berhenti menghadiahkan cawan (mug) kepada guru.

Menerusi satu hantaran tular, pengguna berkenaan berkongsi senarai hadiah yang disifatkan lebih praktikal dan berguna untuk guru berbanding cawan yang dikatakan sudah terlalu banyak diterima saban tahun.

Menurut hantaran itu, antara hadiah yang dianggap sesuai termasuk telekung, kopiah, sejadah, makanan seperti kek, coklat, kismis dan buah-buahan, selain minyak angin, pewangi, tudung, kertas A4, pen penanda, pen merah serta aksesori kecil seperti ‘keychain’ dan kerongsang.

“Cikgu-cikgu tak minta pun semua ini. Tapi, kalau nak bagi juga, bagi yang boleh guna setiap hari. Mug (cawan) itu bukan tak cantik, cuma sudah penuh satu almari dah,” katanya berseloroh.

Dalam masa sama, hantaran tersebut turut menyelitkan pesanan lebih mendalam apabila menyatakan bahawa hadiah paling bernilai buat seorang guru sebenarnya bukanlah barangan semata-mata, sebaliknya sikap dan adab murid itu sendiri.

“Paling mahal sebenarnya bukan hadiah. Tapi anak yang dengar cakap, hormat cikgu dan tak buat cikgu stres pukul 7.30 pagi,” katanya.

Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai netizen, termasuk guru, bersetuju dengan pandangan tersebut dan menyifatkan hadiah berbentuk barangan keperluan harian lebih dihargai kerana boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.

“Saya bukan cikgu tapi saya termenung mana nak simpan hadiah hari guru atau hari terakhir persekolahan ahli keluarga setiap tahun. Tolong jangan bagi benda yang kena simpan. Bagi benda yang akan ‘habis’. Contoh: makanan, sabun mandi, kertas A4, minyak angin,” komen Qayzri.

“Kami tak perlukan benda-benda comel. Kami alu-alukan hadiah seperti pen papan tulis, pen macam-macam warna dan kertas A4,” komen Rosma Haron.

“Sebagai guru saya suka terima makanan sebab hadiah, jadi berilah makanan yang saya boleh habiskan terus, bukannya barang-barang comel,” komen Natasya pula. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |