Guan Eng dapat semula pasport antarabangsa secara kekal

6 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Guan Eng berjaya dalam permohonan mendapatkan semula pasport antarabangsanya secara kekal yang sebelum ini ditahan mahkamah.

Ini kerana bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dikehendaki pergi ke luar negara atas tugas rasmi selain kapasiti sebagai Pengerusi Kehormat Asean-Chian Association for the Promotion of Industrial Cooperation and Development (ACAPICD).

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi memutuskan demikian selepas meneliti permohonan Guan Eng selaku pemohon dan pihak pendakwaan yang bertindak sebagai responden.

“Mahkamah benarkan supaya pasport antarabangsa pemohon (Guan Eng) dikembalikan secara kekal. Bagaimanapun syarat jaminan itu diganti dengan pemohon perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai dan jumlah jaminan berjumlah RM1 juta dikekalkan,” kata Hakim Azura.

Terdahulu, peguam Mohd. Haijan Omar yang mewakili Guan Eng memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya telah dilantik sebagai salah seorang Pengerusi Kehormat ACAPICD.

“Sebagai salah seorang daripada Pengerusi Kehormat ACAPICD tersebut, pemohon dikehendaki pergi ke luar negara dengan kerap untuk menghadiri mesyuarat, konvensyen atau pameran antarabangsa.

“Pemohon memohon pasport secara kekal bukan untuk bercuti tetapi untuk tujuan rasmi bagi mewakili kerajaan Malaysia dan tanpa kehadiran beliau tiada orang lain yang boleh hadir atas kapasiti pemohon. Sekiranya pemohon kerap membuat permohonan pasport, ia akan meremehkan dan memalukan tertuduh,” kata peguam itu.

Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh membantah permohonan tersebut dengan menyatakan mahkamah perlu mengambil kira faktor keseriusan kesalahan yang dipertuduhkan.

Farah Yasmin berkata permohonan pasport secara kerap tidak meremehkan dan memalukan kerana mana-mana orang yang dipertuduhkan di mahkamah akan melalui perkara yang sama.

“Saya percaya mana-mana kes yang melibatkan kes jenayah akan hadapi perkara sama yang perlu membuat permohonan untuk mendapatkan pasport sementara dan tiada bantahan daripada pihak pendakwaan,” katanya.

Prosiding selanjutnya diteruskan dengan perbicaraan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta.

Ia dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.34 juta antara Januari 2011 hingga Ogos 2017, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua pula, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan berhampiran sebuah hotel, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara pukul 12.30 tengah malam hingga pukul 2 pagi pada Mac 2011.

Selain itu, beliau turut berdepan dengan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Ahli Parlimen Bagan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, di Bangunan Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |