SEPANG- Seramai lapan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 ditahan tentera Israel hari ini selepas kapal dinaiki mereka dipintas ketika dalam perjalanan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Mereka yang ditahan termasuk aktivis, Zainal Rashid Ahmad atau dikenali sebagai ZRA yang menaiki kapal Amanda kira-kira pukul 5 petang tadi, manakala Muhamad Muhsin Zaidi yang menaiki kapal Isobella pula dipintas kira-kira pukul 5.20 petang.
Seorang lagi rakyat Malaysia, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman yang menaiki kapal Josef dipercayai turut ditahan berdasarkan paparan langsung di Pusat Operasi Sumud Nusantara (SNCC) di sini.
Antara rakyat Malaysia lain yang ditahan termasuk S. Patmanathan, Muhammad Amirul Afif Mohd. Azhar dan Dr. Syakirin Mohamed Senin yang menaiki kapal Ferluto dipercayai ditahan tentera rejim Zionis sekitar pukul 4.50 petang tadi.
Mohammad Syazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari yang menaiki kapal Cactus pula ditahan sekitar pukul 4 petang tadi.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kapal GSF telah dihampiri secara agresif oleh rejim bermula pukul 3 sehingga 6 petang tadi ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.
Menurut beliau, kedudukan flotila ketika insiden intimidasi berlaku adalah kira-kira 241 batu nautika dari Pantai Gaza, iaitu di laluan perairan antarabangsa yang sah dan dilindungi sepenuhnya di bawah undang-undang maritim antarabangsa UNCLOS.
“SNCC mengesahkan sekurang-kurangnya lima kapal melibatkan lapan rakyat Malaysia telah terkesan dalam insiden tersebut.
“Pihak IOF melakukan pendekatan provokatif menggunakan beberapa buah bot laju jenis RIBs (Rigid Inflatable Boats) ke arah flotila selain mengesan kehadiran dua dua kapal perang (warship) dan sebuah kapal tahanan (prison ship) berhampiran kawasan operasi flotilla,” katanya.
Dalam pada itu, Sani Araby memaklumkan bahawa 41 kapal flotilla termasuk yang membawa 21 rakyat Malaysia masih meneruskan pelayaran menuju Gaza dalam keadaan risiko keselamatan yang sangat tinggi.
“SNCC memantau rapat perkembangan terkini operasi flotilla dan akan terus menyalurkan kemas kini rasmi dari semasa ke semasa berhubung status keselamatan serta pergerakan flotilla,” ujarnya.
Pada 14 Mei lalu, misi GSF 2026 memasuki fasa akhir apabila sebanyak 54 kapal mula berlepas dari Pelabuhan Marmaris, Turkiye menuju ke Gaza kira-kira pukul 7.30 malam waktu Malaysia.
Seramai 29 peserta Malaysia berumur antara 22 tahun hingga 58 tahun terdiri daripada tenaga profesional pelbagai bidang berlayar dari Marmaris dengan peranan masing-masing termasuk kapten, pembantu kapten, kru, pegawai perubatan dan juruteknik. – KOSMO! ONLINE

21 hours ago
9






![[VIDEO] Berjalan kaki di KL umpama berjuang untuk hidup](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-18-at-22.58.55-1.jpeg)


![[VIDEO] ‘Seperti movie Hollywood, hakikatnya ia dihadapi aktivis GSF 2.0’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-18-at-20.49.52.jpeg)






![[VIDEO] Bakar suar buat kecoh di Bukit Bintang, suspek dicari](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-18-at-14.52.45.jpeg)


![[VIDEO] ‘Sampaikan ada ibu berpantang terpaksa rayu mat rempit bersurai’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-18-at-1.15.52-PM.jpeg)


























