GPMS gesa KPM, polis siasat segera buli seksual babit calon SPM

18 hours ago 7

GEORGE TOWN – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan segera berhubung dakwaan kes buli seksual digital terhadap seorang pelajar Tingkatan Lima yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri.

Pengerusinya, Muhammad Danial Alimin berkata, pihaknya amat dukacita dan mengecam sekeras-kerasnya kejadian itu yang didakwa mengakibatkan mangsa serta keluarganya mengalami tekanan emosi yang serius.

Menurutnya, tindakan menyunting gambar mangsa menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan kandungan berunsur lucah sebelum disebarkan melalui media sosial dan medium lain bukan sekadar gurauan, sebaliknya merupakan satu bentuk keganasan seksual digital yang mencabuli maruah, privasi dan hak mangsa.

“GPMS melihat isu ini sebagai satu bentuk keganasan seksual digital yang tidak boleh dipandang ringan kerana memberi kesan besar terhadap kesejahteraan mental dan masa depan pelajar.

“Mangsa merupakan calon SPM yang sedang melalui fasa penting dalam kehidupan. Tekanan emosi akibat kejadian seperti ini berpotensi menjejaskan keyakinan diri, kesihatan mental dan prestasi akademiknya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang berdepan penghinaan secara terbuka dan penyebaran kandungan memalukan berisiko mengalami trauma, kebimbangan, hilang keyakinan diri serta mengasingkan diri daripada keluarga dan masyarakat.

Sehubungan itu, katanya, GPMS menggesa KPM menjalankan siasatan menyeluruh, memperkukuhkan prosedur pengendalian kes buli seksual dan gangguan siber di sekolah serta memastikan mangsa menerima sokongan kaunseling dan psikososial yang sewajarnya.

Dalam masa sama, beliau meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi keutamaan terhadap siasatan kes berkenaan memandangkan keluarga mangsa dilaporkan telah membuat beberapa laporan polis berhubung kejadian yang berlaku secara berulang.

“Polis perlu mengenal pasti individu yang bertanggungjawab dan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang.

“Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga perlu bertindak pantas terhadap penyebaran kandungan yang melanggar undang-undang termasuk akaun palsu atau bahan digital yang digunakan untuk mengaibkan mangsa,” katanya.

Justeru katanya lagi, pihak sekolah juga perlu memastikan persekitaran pembelajaran kekal selamat selain memperkukuhkan sistem pencegahan dan intervensi bagi menangani kes buli.

“GPMS berdiri teguh bersama mangsa dan keluarganya serta menyeru semua pihak membina budaya yang lebih prihatin, berempati dan bertanggungjawab agar tiada lagi pelajar menjadi mangsa buli seksual digital,” tambahnya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang ibu meluahkan kebimbangan apabila anak perempuannya yang juga calon SPM 2026 didakwa menjadi mangsa buli seksual dan gangguan siber sejak April lalu.

Emosi remaja terbabit dikatakan semakin terganggu apabila gambarnya telah disunting menggunakan teknologi AI sebelum disebarkan menerusi poster di sekolah, tempat awam dan di media sosial. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |