KUALA LUMPUR – Polis menerima satu lagi laporan berhubung insiden membabitkan sepasukan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penjual belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, laporan itu dibuat oleh ibu pemuda dikenali ‘abang belon’ pada tengah malam tadi.
Beliau berkata, pihaknya dalam proses melengkapkan siasatan dan merakam keterangan saksi terutama saksi bebas serta rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
“Setakat ini lima keterangan saksi sudah diambil. Kita hanya rakam keterangan dan tiada tangkapan dibuat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya hari ini.
Tambah Sulizmie, orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil.
Sebelum ini tular di media sosial video memaparkan pergelutan antara seorang peniaga belon dan penguat kuasa DBKL dalam kejadian di Jalan TAR.
Video tersebut bukan sahaja mendapat pelbagai reaksi daripada orang awam, malah mendapat perhatian menteri.
Sebelum ini DBKL memaklumkan peniaga belon itu sudah diberi teguran sebanyak kali ketiga untuk beredar sebelum bertindak agresif dan menolak anggota penguat kuasa DBKL.
DBKL dalam kenyataannya berkata, sebelum kejadian pukul 11.50 malam itu, penguat kuasa DBKL yang melakukan rondaan melihat kehadiran beberapa penjaja tanpa lesen menjalankan aktiviti perniagaan di laluan pejalan kaki Jalan TAR.
Katanya, anggota penguat kuasa DBKL memberi teguran dan kebanyakan penjaja tanpa lesen memberi kerjasama dengan beredar dari kawasan tersebut, namun ia tidak berlaku kepada peniaga belon tersebut. – KOSMO ONLINE