Gelombang haba: Lanjutan PdPR di Kedah bergantung bacaan suhu harian

5 hours ago 5

ALOR SETAR – Keputusan untuk melanjutkan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) melibatkan 86,030 pelajar dari 206 sekolah di daerah Kota Setar dan Pendang akan dibuat berdasarkan bacaan suhu harian oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

Pengarah Pendidikan Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, pelajar terlibat PdPR terdiri daripada 65,634 orang daripada 154 sekolah di Kota Setar dan 20,396 orang daripada 52 sekolah di Pendang.

Katanya, pelaksanaan PdPR itu adalah selaras dengan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) berkaitan pengoperasian institusi pendidikan semasa cuaca panas.

“Cuaca sekarang mencecah 37 darjah Celcius dan sangat panas, sebab itu JPN Kedah mengambil inisiatif buat PdPR sebab kita mahu elak pergerakan pelajar.

“Kita tidak mahu mereka terdedah dengan cuaca panas terutama pada waktu puncak tengah hari,” katanya ketika mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma, di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun cuaca panas, sesi pembelajaran tetap berlangsung seperti biasa dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), sekolah serta guru telah membuat persediaan kerana peringatan awal telah dikeluarkan sejak Rabu lalu berhubung kemungkinan penutupan sekolah.

“Pemantauan berterusan dibuat dan kita akan pantau tahap bacaan suhu dikeluarkan MetMalaysia, kalau bacaan dalam tempoh tiga hari ini masih sama, PdPR akan diteruskan tetapi jika sudah turun, sesi persekolahan secara bersemuka akan dijalankan seperti biasa.

“Kita mahu pastikan keselamatan dan kesihatan pelajar terjaga kerana cuaca panas ini boleh menyebabkan banyak komplikasi kesihatan. Jadi, kita minta waris untuk turut sama memastikan kesihatan anak-anak terpelihara, pastikan mereka tidak terdedah dengan cuaca panas dalam tempoh lama,” ujarnya.

Katanya, di samping PdPR, beberapa sekolah yang mempunyai pelajar tinggal di asrama menjalankan pembelajaran secara hibrid dengan hadir ke kelas seperti biasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya mengambil maklum berkaitan masalah peranti dan liputan internet yang dihadapi sesetengah pelajar, bagaimanapun pihak sekolah telah menyediakan lembaran kerja supaya sukatan pelajaran yang telah disusun dari awal dapat dihabiskan.

Sementara itu, Pengetua SMK Sultanah Asma, Tengku Fariza Tengku Ibrahim berkata, seramai 201 daripada 217 pelajar asrama sekolah itu menjalani PdPR di sekolah.

“Bagi pelajar tingkatan satu hingga tiga, sesi PdPR bermula dari pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari, manakala bagi tingkatan empat dan lima, sesi mereka bermuka pukul 8 pagi hingga 2 petang. Kelas akan diadakan selama satu jam sebelum berehat selama 15 minit dan kemudian disambung semula,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan sebanyak 206 sekolah di daerah Kota Setar dan Pendang akan melaksanakan PdPR selama tiga hari bermula hari ini.

Menurut JPN Kedah, keputusan itu dibuat berdasarkan laporan MetMalaysia yang merekodkan suhu harian Tahap Dua (Gelombang Haba) selama tiga hari berturut-turut di dua daerah tersebut sejak Khamis lalu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |