Freedom Flotilla: Delegasi Malaysia jalani pemeriksaan kesihatan sebelum pulang

6 days ago 8

PETALING JAYA – Proses membawa pulang sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) melibatkan beberapa langkah penting, termasuk pemeriksaan kesihatan dan penyediaan keperluan asas sebelum mereka dibenarkan pulang ke tanah air.

Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal berkata, setiap delegasi akan melalui pemeriksaan dan rawatan perubatan bagi memastikan keadaan kesihatan mereka benar-benar stabil selepas dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel.

“Selepas itu, urusan pentadbiran dan keperluan asas akan disediakan, termasuk pakaian yang bersih serta sesuai.

“Sudah tentu perkara paling dinanti mereka ialah makanan, memandangkan makanan yang diterima semasa dalam tahanan amat teruk keadaannya sehingga ada yang tidak sanggup untuk menjamah,” katanya.

Menurut beliau, layanan yang diterima oleh sukarelawan amat menyedihkan dan tidak berperikemanusiaan.

“Saya secara peribadi berasa amat sedih apabila mendengar bagaimana mereka dilayan hampir seperti binatang, (itu) boleh saya katakan.

“Peranan kami sekarang ialah memastikan mereka mendapat rawatan, pemakanan dan penjagaan yang sewajarnya bagi memulihkan keadaan fizikal serta emosi mereka,” ujarnya.

Terdahulu, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) mengesahkan bahawa kesemua sembilan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi berkenaan telah dibebaskan dan diterbangkan keluar dari Israel melalui penerbangan Turkish Airlines TK6921.

Mereka selamat tiba di Istanbul, Türkiye, pada pukul 2.30 petang waktu tempatan (7.30 malam waktu Malaysia), kesemua aktivis dijangka pulang ke tanah air pada Ahad ini.

Semalam, sembilan kapal yang menyertai misi kemanusiaan FFC-TMTG disahkan telah ditunda manakala kesemua aktivis di atas kapal berkenaan, termasuk sembilan rakyat Malaysia, dipindahkan ke Penjara Ketziot di Negev, Israel.

Delegasi Malaysia yang terlibat ialah Profesor Emeritus Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali, Dr. Fauziah Mohd. Hassan, Dr. Maziah Muhammad, Dr. Hafiz Sulaiman, Dr. Ili Syakira Mohd. Suhaimi, Dr. Mohd. Afandi Salleh, Dr. Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Kesemua mereka antara 145 aktivis antarabangsa yang ditahan tentera Israel selepas kapal konvoi kemanusiaan yang disertai mereka ditunda ke Pelabuhan Ashdod. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |