FFM35, pemenang terdahulu ‘suara’ pilih yang terbaik

11 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) bakal tampil dengan pembaharuan apabila proses penjurian pemenang bagi kategori utama akan ditentukan sendiri penggiat industri yang terdiri daripada barisan pemenang edisi terdahulu.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac berkata, perubahan dilakukan bagi memastikan festival tahunan tersebut terus relevan, selari dengan perkembangan industri kreatif yang semakin berkembang.

Menurutnya, bagi edisi kali ini, panel juri profesional akan membuat saringan pada peringkat awal sebelum keputusan akhir ditentukan barisan sekitar 150 pemenang FFM terdahulu.

“Finas selaku penganjur mendengar ‘suara’ pemain industri dalam meningkatkan lagi acara berprestij untuk menghargai seluruh penggiat industri perfileman.

“Jadi pemenang musim lalu akan menentukan siapa paling layak dinobatkan sebagai yang terbaik termasuk bagi kategori filem, pelakon, sinematografi, skrip dan lakon layar terbaik.

“Cadangan ini juga bukan datang daripada Finas, sebaliknya diusulkan pelakon Bront Palarae berdasarkan pengalaman beliau menghadiri pelbagai festival filem antarabangsa,” katanya pada sidang media pengumuman FFM35 di sini, hari ini.

Mengenai calon awal, Hans berkata, edisi ke-35 dijangka menerima lebih 62 filem yang ditayangkan mengikut syarat Wajib Tayang bagi penghujung 2025 hingga 2026.

“Festival Filem Malaysia bukan sekadar pertandingan untuk menang anugerah, sebaliknya menjadi platform meraikan karya yang mampu memberi makna.

“Pastinya setiap satu naskhah menyatukan masyarakat dan mengangkat kisah Malaysia kepada khalayak.

“Kita turut menyasarkan edisi kali ini menjadi penganjuran terbaik dalam sejarah festival berkenaan menerusi perancangan yang dibuat lebih awal Finas dengan jangkaan lebih banyak penyertaan filem,” ujarnya.

Bertemakan Spektrum Sinema, sebanyak 30 kategori anugerah akan dikekalkan, termasuk lima kategori yang tidak dipertandingkan.

“Kategori tersebut adalah Anugerah Khas Sepanjang Zaman, Anugerah Khas Karyawan, Anugerah Khas Juri 1 & 2 dan Filem Box Office.

“Istimewa hadiah keseluruhan festival masih dikekalkan bernilai RM1 juta buat tahun kedua berturut-turut, hasil sokongan Kementerian Komunikasi dan pengurusan Finas,” katanya.

Dijadualkan berlangsung pada 21 November 2026, FFM35 diadakan di Istana Budaya malah menjadi acara mega pertama di gelanggan tersebut yang sebelum ini ditutup untuk kerja penambahbaikan.

Malam kemuncak akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2 manakala Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku rakan strategik dan penyiar rasmi.

Tarikh untuk rumah produksi mengemukakan penyertaan pula dibuka bermula 29 Julai sehingga 11 Ogos ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |