ABU DHABI – Bintang Formula Satu (F1), Lewis Hamilton menyifatkan masanya bersama Mercedes sebagai penghormatan terbesar dalam hidupnya selepas juara dunia tujuh kali itu menamatkan perlumbaan terakhirnya bersama pasukan tersebut di Grand Prix (GP) Abu Dhabi.
Hamilton yang bermula dari kedudukan ke-16 di Litar Yas Marina malam kelmarin, menampilkan aksi luar biasa untuk menamatkan saingan di tempat keempat dan prestasinya mencerminkan hubungan erat antara dirinya dan Mercedes sejak menyertai pasukan itu pada 2013.
“Apabila saya menghentikan kereta, saya hanya mahu menghargai detik itu kerana ini adalah kali terakhir saya menaiki jentera Mercedes. Setiap petak pertama, setiap kemenangan, setiap kejuaraan, saya sangat bangga dengan apa yang telah kami capai bersama,” katanya.
Selama 12 musim bersama Mercedes, Hamilton mencipta sejarah dengan tujuh gelaran juara dunia menerusi 84 kemenangan dan kini mengucapkan selamat tinggal dalam perlumbaan terakhirnya sebelum menyertai Ferrari tahun depan.
“Setiap saat saya berada dalam kereta minggu ini, saya tahu itu adalah antara yang terakhir dan sangat sukar untuk melepaskannya. Saya bangga dengan setiap perlumbaan, setiap petak pertama, setiap kejuaraan dan kemenangan yang telah kami capai bersama,” tambahnya.
Selepas penamat kontroversi di GP Abu Dhabi 2021 yang meragut peluangnya meraih gelaran dunia kelapan, Hamilton dan Mercedes bergelut untuk menyesuaikan diri dengan peraturan baharu sejak 2022 sebelum mengumumkan peralihannya ke Ferrari.
Hamilton kini bersedia menyertai Ferrari musim depan dengan membawa pengalaman berharga ke pasukan Itali yang bakal menjadi babak baharu dalam karier luar biasanya selain dijangka menambah warna persaingan F1 musim 2025.
Perpisahan itu bukan hanya menandakan penghujung era kegemilangan Hamilton bersama Mercedes, tetapi juga harapan baharu buat bintang dunia itu di Ferrari. – AGENSI