EPL: Chelsea boleh lupakan menang trofi

1 month ago 20

IPSWICH – Impian Chelsea untuk merebut gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) semakin jauh daripada realiti selepas tewas mengejut 0-2 kepada pasukan yang bergelut di zon penyingkiran, Ipswich Town di Stadium Portman Road awal pagi semalam.

Kekalahan itu turut memanjangkan rekod tanpa kemenangan The Blues kepada tiga aksi berturut-turut dan kini menghuni tangga keempat, ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu Liverpool di puncak liga.

Ketiadaan Romeo Lavia di bahagian tengah terus memperlihatkan kelemahan besar dalam struktur permainan mereka meskipun pasukan itu pernah mencatat lima kemenangan berturut-turut awal bulan lalu.

“Kami mencipta banyak peluang tetapi penyudah tidak menyebelahi kami. Joao (Felix) dan Noni (Madueke) ada peluang keemasan, tetapi penjaga gol lawan dan aksi pertahanan mereka terlalu cemerlang.

“Kadang-kadang, dalam bola sepak segalanya tidak berjalan seperti dirancang,” kata pengurus Chelsea, Enzo Maresca.

Sebagai rekod, Chelsea terpaksa akur tewas kepada Ipswich hasil jaringan Liam Delap dan Omari Hutchinson.

Kekalahan yang dialami turut menyerlahkan masalah konsistensi Chelsea di bawah Maresca yang mengakui pasukannya masih jauh daripada tahap terbaik untuk bersaing dengan gergasi-gergasi liga seperti Liverpool dan Arsenal.

“Kami harus realistik. Kedudukan keempat ini masih jauh lebih baik daripada jangkaan awal musim tetapi jelas banyak aspek perlu diperbaiki. Ia adalah perjalanan panjang dan kami perlu lebih konsisten jika mahu kekal bersaing di peringkat tertinggi,” katanya.

Kini, Chelsea dijangka membuat beberapa perubahan taktikal dan mungkin menyasarkan pemain baharu pada jendela perpindahan bulan ini untuk memperkuatkan skuad mereka dalam usaha menamatkan musim di kedudukan lebih baik. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |