SEREMBAN – Enda Group Sdn. Bhd. (Enda Group) berkeyakinan terhadap Galeri Pelawat Siti Khadijah di Laman Khadijah di sini bakal menjadi satu lagi faktor penarik dalam destinasi pelancongan sekali gus membantu melonjakkan pendapatan dalam industri pelancongan Negeri Sembilan.
Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Enda Group, Mohammad Munzir Aminuddin berkata, ini kerana jenama produk keluaran syarikat iaitu Siti Khadijah sudah cukup terkenal bukan sahaja di Malaysia, malah di negara jiran yang bakal menarik minat pelancong domestik dan asing berkunjung ke galeri terbaharu yang dibangunkan syarikat di sini.
“Galeri Pelawat ini bakal memberi nilai tambah kepada industri pelancongan Negeri Sembilan mahupun Malaysia secara keseluruhan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Galeri Pelawat Siti Khadijah di Laman Khadijah yang disempurnakan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud di sini baru-baru ini.
Galeri yang berkonsepkan pusat sehenti itu merangkumi pelbagai elemen yang memperkayakan pengalaman pengunjung mempersembahkan kisah sejarah penubuhan dan perjalanan Siti Khadijah sepanjang 15 tahun.
Ia juga menunjukkan susur galur jenama Siti Khadijah dengan permulaan yang sederhana berkembang menjadi ikon keanggunan, ketelitian dan kekuatan nilai tradisi.
Antara tarikan utama di galeri itu termasuk ruang pameran rekaan bentuk muka telekung, makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan sudut interaktif, yang mana para pengunjung berpeluang merasai sendiri kualiti fabrik.
Kata Mohammad Munzir, Siti Khadijah merupakan satu-satunya jenama tempatan dalam segmen pakaian ibadah dan produk gaya hidup menyediakan destinasi lawatan istimewa bagi memperkayakan pengalaman pengunjung dalam memahami warisan budaya, sejarah serta daya kreativiti anak tempatan.
“Kami percaya pengalaman yang dibawakan galeri ini bukan sahaja mendekatkan pengunjung dengan jenama Siti Khadijah, malah menjadi inspirasi kepada generasi usahawan tempatan pada masa depan,” katanya.
Selain itu katanya, syarikat menyasarkan peningkatan jualan sehingga 30 peratus tahun ini, didorong pelancaran produk telekung terbaharu Maharani, yang bakal menembusi pasaran dalam masa terdekat.
Nilai sasaran itu mampu dicapai memandangkan prestasi jualan pada suku pertama tahun ini memberangsangkan.
“Dengan adanya koleksi Maharani, kami yakin pertumbuhan jualan meningkat antara 20 hingga 30 peratus berbanding jumlah jualan RM110 juta,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE