PUTRAJAYA – Kerangka Ekonomi Madani dilancarkan pada 27 Julai 2023 bertujuan mengukuhkan hala tuju negara dalam menjadikan Malaysia peneraju ekonomi serantau di Asia.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerangka ini berasaskan prinsip manusiawi dengan ihsan dan rahmah, bertujuan memastikan keadilan menyeluruh untuk semua rakyat.
Katanya, ia menjadi panduan kepada kepimpinan negara dalam melaksanakan transformasi ekonomi yang mampan dan adil.
“Atas ikhtiar tersebut, kerajaan telah menggerakkan usaha untuk menjelmakan anjakan baharu bermula pada tahun ini.
“Saya turut memahami bahawa tidak semua keputusan dan kebijakan kerajaan itu popular atau lekas membuahkan hasil.
“Namun, semua ini dilaksanakan dengan tekad politik yang jelas, dengan niat ikhlas serta penilaian yang teliti untuk memastikan
dasar-dasar tersebut ini memberi manfaat kepada rakyat terbanyak,” katanya pada amanat tahun baharu 2025 malam ini.
Anwar berkata, sebagai contoh, langkah penyasaran subsidi diesel dan penyesuaian tarif elektrik telah dilaksanakan untuk menutup ketirisan subsidi pukal.
Anwar menyatakan subsidi yang selama ini dinikmati oleh golongan mahakaya dan lebih tiga juta warga asing kini disasarkan kepada golongan yang lebih memerlukan.
Katanya, bagi meringankan beban rakyat, peruntukan untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan sebanyak RM10 bilion pada tahun ini, iaitu tertinggi dalam sejarah.
Beliau turut memaklumkan, bahawa tahun hadapan, kerajaan berhasrat untuk menambah peruntukan STR dan SARA sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion keseluruhannya.
Jelasnya, kerajaan juga sedang menangani isu kos sara hidup melalui Program Payung Rahmah dan pemantauan aktif terhadap manipulasi harga oleh peniaga.
“Pasukan pemantau digerakkan dengan aktif untuk memerhati, memantau dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang mencatut harga dengan sewenang-wenangnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE