JOHOR BAHRU – Seorang ejen hartanah berputih mata setelah mengalami kerugian berjumlah RM85,000 diperdaya projek pembinaan hotel di Pattaya, Thailand yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki tempatan berusia 37 tahun diperdaya dalam bentuk mata wang kripto jenis tether (USDT) sebanyak USDT20,000 bersamaan kira-kira RM85,000.
Katanya, mangsa ditawarkan pelaburan itu oleh dua suspek lelaki warga asing berusia 35 dan 39 tahun untuk pembinaan projek hotel di Pattaya, pada Mac lalu.
“Mangsa telah berminat kerana dijanjikan akan memiliki saham pemilikan sebanyak satu peratus, yang mana bersamaan dengan USD10,000 (RM45,100).
“Pada 8 Julai lalu, mangsa telah memindahkan mata wang kripto sebanyak USDT20,000 ke pemilik akaun suspek bagi tujuan itu.
“Walaubagaimanapun mangsa tidak mendapat sebarang pulangan dan keuntungan pelaburan selepas pembuat pembayaran terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raub berkata, mangsa tersebut tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS setelah menjadi mangsa penipuan pelaburan tak wujud, semalam.
Dalam pada itu, Raub berkata, pihaknya juga menerima laporan polis berkaitan pelaburan tidak wujud melibatkan seorang pendandan rambut yang diperdaya hingga menyebabkan dirinya alami kerugian lebih RM20,000.
Katanya wanita berusia 48 tahun itu menerima mesej melalui WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang memperkenalkan pelaburan saham dengan keuntungan cepat.
“Mangsa telah memberikan butiran peribadi dan nombor akaun bank kepada suspek bagi membuka akaun pelaburan. Mangsa membuat tujuh transaksi bayaran ke lima akaun bank tempatan antara 27 November hingga 12 Disember lalu.
“Bagaimanapun, selepas bayaran dibuat, suspek menyekat panggilan mangsa dan menyebabkan mangsa gagal mendapatkan semula wangnya,” katanya.
Kedua-dua kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE