SHAH ALAM – Pasangan suami isteri yang juga doktor kesihatan dan kecantikan mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan hari ini atas pertuduhan melanggar akta kaunselor berkaitan penganjuran motivasi rumah tangga, eHati, tahun lalu.
Tertuduh, Shazifh Osman, 38 dan Munira Hishamshah, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin dan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman.
Berdasarkan pertuduhan, suami isteri itu didakwa telah menjalankan suatu kesalahan dibawah amalan sebagai kaunselor yang berdaftar di Dewan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Seksyen 15 di sini antara 27 hingga 30 September tahun lalu.
Justeru, mereka melakukan kesalahan dibawah Seksyen 22 (1) (a) Akta Kaunselor 1998 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 22 (2) akta sama.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM30,000 atau kedua-duanya sekali.
Kedua-dua tertuduh dipercayai bertindak sebagai fasilator bagi penganjuran eHati di IDCC tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mencadangkan jaminan masing-masing sebanyak RM10,000 bersama seorang penjamin, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Peguam Alhirzan Mahamad Akhir bagaimanapun memaklumkan kedua-dua anak guamnya hanya mampu RM3,000 sahaja.
“Perniagaan mereka telah merundum dan Munira menanggung ibu yang mempunyai penyakit barah payu dara.
“Munira juga mengalami depresi sebelum ini. Kedua-duanya juga menanggung tiga lagi pekerja di klinik mereka selain telah memberikan kerjasama kepada polis dalam siasatan sebelum ini,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan masing-masing sebanyak RM7,000 kepada Shazifh dan RM5,000 kepada Munira bersama seorang penjamin selain menyerahkan pasport.
Sebutan kes bagi kedua-dua tertuduh ditetapkan 24 November depan.- KOSMO! ONLINE