Ee Wei kalung penghargaan kepada Nova

3 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei seolah-olah berat untuk pemergian ketua jurulatih beregu campuran, Nova Widianto yang akan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) penghujung Julai ini.

Menerusi satu hantaran penuh emosi di laman Instagram, Ee Wei mengalungkan kata-kata penghargaan kepada jurulatih dari Indonesia itu yang sudah banyak memberikan tunjuk ajar kepadanya.

Lebih manis, Nova juga berjaya membantu Ee Wei bersama pasangannya, Chen Tang Jie melakar sejarah apabila menjadi beregu campuran pertama negara memenangi Kejohanan Badminton Dunia pada tahun lalu.

“Mengucapkan selamat tinggal bukanlah sesuatu yang mudah, terutamanya kepada seseorang yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan kami. Kami menghormati keputusan itu dan bersyukur kerana pernah mengharungi perjalanan ini bersama beliau.

“Setiap jurulatih meninggalkan impak yang berbeza dan kami sangat bangga kerana pernah berada di bawah bimbingan beliau,” tulisnya menerusi hantaran tersebut.

Terdahulu, BAM dalam satu kenyataan mengumumkan Nova akan menamatkan tugas sebagai ketua jurulatih beregu campuran negara untuk kembali ke Indonesia selepas menyertai skuad kebangsaan pada Januari 2023.

Sementara itu, Ee Wei yang sedang menjalani proses pemulihan kecederaan di Australia turut menjelaskan, Nova bukan sahaja membantu meningkatkan prestasi pemain di gelanggang, malah turut membentuk jati diri mereka.

“Terima kasih atas segala tunjuk ajar, kepercayaan serta dedikasi sepanjang perjalanan kami. Terima kasih kerana sentiasa menjaga, menyokong dan membantu kami berkembang sebagai pemain serta insan di dalam dan luar gelanggang.

“Kami mendoakan agar jurulatih (Nova) terus berjaya dan berbahagia dalam fasa baharu kehidupan. Terima kasih kerana pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan kami,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |