Disuruh cipta kontroversi, mereka cakap saya terlalu ‘bersih’ – Adriana

1 day ago 5

PETALING JAYA – Ibarat rasa disisihkan, pelakon Adriana Adnan menzahirkan kekecewaan terhadap realiti industri seni yang sengaja menidakkan kemampuannya walau sudah bekerja keras memberikan komitmen penuh.

Adriana, 30, menganggap pihak terbabit hanya memberikan alasan tidak masuk akal untuk menolak sekali gus cuba membunuh semangatnya.

“Dari dulu sampai sekarang tetap orang dalam industri suruh saya kurus, kurus dan kurus. Saiz saya ini dikira gemuk.

“Apabila dah masuk umur 30 pula, orang cakap saya dah tua. Jadi nampaknya, umur 30 tahun sudah dianggap tua dalam industri ini.

“Wujud segelintir pihak yang memberi alasan secara rawak hanya untuk menjatuhkan serta membuatkan saya sengsara,” katanya dalam hantaran di Threads.

Begitupun, Adriana bersyukur masih ramai insan di sekelilingnya yang sentiasa mempercayai bakatnya terus memberikan sokongan tidak berbelah bagi.

“Tidak mengapa, bagaimanapun, saya masih bersyukur kepada orang di sekeliling saya yang sentiasa percayakan bakat saya, selalu sokong saya dan pilih saya,” ujarnya.

Menerusi hantaran sama, Adriana juga pengacara itu berharap pihak yang hanya mencari kekurangannya berjaya dengan pilihan mereka.

“Kepada yang hanya mencari kekurangan saya hanya sebab awak tak suka saya atau ada pilihan lebih baik di tangan awak sekarang, semoga berjaya. Mari lihat berapa lama mereka akan bertahan,” katanya.

Menegaskan sanggup mengikut kehendak produser dan pengarah demi menjayakan sesuatu karakter, dedahnya lagi dia tetap berdepan penolakan.

“Mereka kata saya nampak tua sebab saya pernah bawa watak pensyarah dan watak ibu muda. Tapi bukankah seorang pelakon itu perlu meneroka pelbagai karakter?

“Perlu tukar imej untuk membawakan setiap watak tersebut? Atau saya yang salah? Kalau saya salah, tolong ajarkan. Kalau mereka suruh saya kurus demi karakter, saya mampu kuruskan badan.

“Saya akan lakukan apa sahaja demi watak selagi mampu dan munasabah, namun saya rasa orang ramai masih belum nampak usaha tersebut,” katanya yang turut memasuki kelas lakonan di luar negara.

Menurutnya lagi, memang terdapat seseorang dalam industri hiburan yang memintanya untuk mencipta kontroversi agar menyerlah.

“Ada orang industri sampai suruh saya cipta kontroversi untuk kekal relevan. Mereka kata saya terlalu ‘bersih’. Tiada tarikan berita.

“Sebab industri kita akan pilih orang yang selalu keluar berita, tular dan tinggi tarikan di media sosial.

“Tapi bagi saya, maruah diri dan keluarga lebih penting. Saya takkan korbankan semua itu,” katanya yang sudah lebih sedekad dalam industri hiburan.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |