Dewan Rakyat: Integriti ATM diperkukuh, pastikan keyakinan rakyat dipulihkan

12 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan komited memperkukuh keyakinan rakyat terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan tahap integriti dan disiplin warga pertahanan terus terpelihara.

Timbalan Menteri Pertahanan (Mindef), Adly Zahari berkata, antara usaha yang dilaksanakan termasuk menekankan aspek kesedaran keselamatan serta pematuhan prosedur ATM di semua peringkat formasi dan perkhidmatan, selain memperkukuh peranan Unit Integriti.

Beliau berkata, bagi mengembalikan keyakinan rakyat pula, kementeriannya turut mempergiatkan program-program didikan keselamatan, etika dan integriti bagi warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Mindef juga menegaskan bahawa tindakan tatatertib dan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau anggota sekiranya terbukti bersalah.

“Dalam hal ini, Kementerian Pertahanan akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa demi memastikan semua pihak mendapat keadilan yang sewajarnya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) mengenai langkah-langkah Damage Control yang telah diambil oleh Mindef bagi mengembalikan kepercayaan rakyat ekoran pendedahan media tentang penjualan maklumat keselamatan taktikal negara oleh lima orang pegawai ATM kepada pihak luar.

Dalam pada itu, Adly berkata, sebagai langkah kawalan dan pemerkasaan, Mindef dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta agensi keselamatan lain telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam memastikan kes ini ditangani dengan telus dan menyeluruh.

“Mindef juga telah menempatkan pegawai-pegawai yang disyaki di Markas Pentadbiran masing-masing dengan mengecualikan mereka daripada penglibatan operasi.

“Selain itu, turut dilaksanakan Lembaga Siasatan dalaman terhadap isu kebocoran maklumat yang didakwa berlaku,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |