KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan komited memastikan kebajikan serta pembangunan kemahiran pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus diberi perhatian melalui pelbagai inisiatif strategik dan program latihan berstruktur.
Timbalan Menteri Pertahanan (Mindef), Adly Zahari berkata, usaha membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaksanakan secara menyeluruh bagi meningkatkan tahap sosioekonomi mereka, memandangkan majoriti menamatkan perkhidmatan pada usia sekitar 40-an dan masih produktif untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
Beliau berkata, persediaan bagi menghadapi persaraan anggota ATM bermula setahun hingga dua tahun sebelum mereka menamatkan perkhidmatan.
“Dalam tempoh itu, Mindef sedang giat melaksanakan Inisiatif Work-Based Learning (WBL) yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai usaha memetakan pengalaman dan kemahiran anggota kepada kurikulum akademik.
“Inisiatif ini dirangka mengikut tred kerjaya tentera bagi meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran anggota selepas tamat perkhidmatan. Ia juga merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan sumber manusia pertahanan negara yang relevan, inklusif dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan dikemukakan V. Ganabatirau (PH-Klang) mengenai program-program yang dilaksanakan di bawah Kementerian untuk menjamin kebajikan dan meningkatkan kemahiran pesara ATM.
Selain itu, Adly berkata, melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP), Mindef turut memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan serta sosioekonomi bakal pesara dan veteran ATM, termasuk penyediaan latihan serta peluang kerjaya kedua selepas perkhidmatan.
“Pelaksanaan program ini dikendalikan oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) yang bertanggungjawab merancang dan mengurus Program Latihan Peralihan bagi membantu anggota ATM menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas bersara.
“Turut dilaksanakan Kerjaya Perwira, Veteran MyWira, Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM, USAHAWANTANI serta Program Pensijilan Kompetensi Kemahiran,” katanya.
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang meminta kerajaan menyatakan langkah yang diambil kerajaan dalam membantu kebajikan veteran ATM, beliau berkata seramai 61,867 veteran ATM menerima pelbagai bentuk bantuan kebajikan dan kesihatan.
“Ia melibatkan anggaran peruntukan berjumlah RM288 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE