KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenakan sekatan ke atas 279 laman sesawang berunsur pelacuran bagi tempoh 1 Januari 2022 sehingga 1 Disember lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sebanyak 2,165 kandungan berunsur pelacuran di pelbagai platform media sosial juga telah dikenakan tindakan penurunan dalam tempoh sama.
Kata beliau, penurunan kandungan yang tertinggi melibatkan platform Facebook sebanyak 46.84 peratus), TikTok (30.44 peratus) dan Telegram (21.20 peratus)
“Tindakan penurunan kandungan media sosial dan sekatan laman sesawang dilakukan berdasarkan permohonan rasmi agensi penguatkuasaan serta maklumat dan aduan orang ramai kepada MCMC.
“Namun keputusan muktamad penurunan kandungan tertakluk kepada pertimbangan penyedia perkhidmatan berdasarkan penilaian standard komuniti yang telah ditetapkan oleh mereka,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Suan mengenai perancangan kerajaan membanteras ‘dark side’ dan tindakan yang diambil terhadap pengendali akaun menawarkan aktiviti pelacuran dalam talian.
Terdahulu, Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi memandang serius penyalahgunaan media sosial seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) termasuk yang menjurus kepada pelacuran dalam talian.
Ujar beliau, penguatkuasaan Akta 588 yang diambil oleh MCMC adalah tindakan sokongan kepada undang-undang sedia ada seperti Seksyen 372A, 372B dan 373 Kanun Keseksaan (Akta 574) di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani aktiviti pelacuran dalam talian atau ‘darkside’
Jelas beliau, MCMC memberi bantuan teknikal yang melibatkan pembekalan maklumat dan analisis forensik digital bagi mempercepatkan proses siasatan dan membantu pihak berkuasa mengumpulkan bukti yang diperlukan.- KOSMO! ONLINE