KUALA LUMPUR – Kajian Semula Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 yang menyaksikan kadar gaji minimum di negara ini dinaikkan kepada RM1,700 melibatkan seramai 3,849 responden.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, responden terbabit terdiri daripada 1,919 majikan, 1,930 pekerja dan dilaksanakan melalui borang soal selidik serta sesi libat urus.
“Kajian bermula Oktober 2022 sehingga November 2023 bagi mengumpul serta menganalisis data, maklumat, menjalankan penyelidikan tentang gaji serta petunjuk sosioekonomi, mendapatkan maklum balas terhadap impak dan cabaran pelaksanaan PGM 2022.
“Hasil soal selidik ini dianalisis dan dijadikan sebagai input Kajian Semula PGM 2022,” katanya pada sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk C. Sivaraj tentang kajian impak yang telah dijalankan bagi menilai kesan kenaikan gaji minima kepada RM1,700 ke atas Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)
Abdul Rahman berkata, Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara juga telah melaksanakan 26 sesi libat urus di seluruh negara yang melibatkan 1,109 penyertaan persatuan majikan, wakil industri bersaiz besar, sederhana, kecil dan mikro, kesatuan sekerja dan wakil pekerja.
Menurut beliau, pandangan juga diperoleh daripada agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta pakar gaji serantau daripada International Labour Organisation(ILO)
Kata beliau, sebanyak 61 pandangan dan cadangan daripada 36 memorandum juga diterima daripada wakil majikan dan pekerja yang tidak berpeluang terlibat dalam sesi libat urus, cadangan dalam bentuk memorandum dan survei pandangan awam.
“Di hujung segala proses ini, kadar RM 1,700 sebulan merupakan syor yang telah dicapai secara sebulat suara melalui Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) yang dianggotai oleh wakil kerajaan, majikan serta pekerja.
“Keputusan Kerajaan dalam penetapan kadar gaji minimum juga dibuat berdasarkan pendekatan seimbang dengan mengambil kira kepentingan pihak majikan, pekerja dan kerajaan,” katanya.
Jelas beliau, penetapan kadar baharu gaji minimum dirangka mengikut formula penetapan gaji minimum yang dikemas kini berdasarkan indikator-indikator ekonomi terkini iaitu indikator asas pendapatan garis kemiskinan (PGK)
Kata beliau, indikator pelarasan juga digunakan dalam formula gaji minimum iaitu Indeks Harga Pengguna (IHP), produktiviti buruh dan kadar pengangguran.
“Bagi mengurangkan beban terhadap majikan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kerajaan menangguhkan kuat kuasa terhadap majikan mempunyai kurang daripada lima pekerja dalam tempoh lebih kurang enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.
“Penangguhan ini diharap dapat memberikan peluang untuk majikan PKMS menyelaras pengurusan syarikat untuk melaksanakan kadar baru,” katanya. – KOSMO! ONLINE