Datuk Red, syarikat diperintah bayar RM1.4 juta kepada 17 pembeli tanah

10 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan ahli perniagaan, Datuk Seri Adenan Abu atau Datuk Red dan syarikatnya, ADN Properties Sdn. Bhd. bersama seorang individu membayar RM1.4 juta kepada 17 pembeli tanah.

Perintah itu dibuat berhubung urusan penjualan lot tanah di Sungai Semungkis, Hulu Langat, Selangor tujuh tahun lalu.

Hakim Siti Fatimah Talib turut memerintahkan Adenan dan ADN Properties selaku defendan membayar ganti rugi teladan sebanyak RM170,000 kepada kesemua plantif.

Dalam penghakimannya, Hakim Siti Fatimah berkata, syarikat terbabit memasukkan perjanjian jual beli induk dengan Hasmy bagi memperoleh tanah berharga RM1.8 juta.

Bagaimanapun, katanya, hak milik tanah tersebut tidak pernah dipindahkan kepada ADN Properties dan harga belian induk tidak dijelaskan sepenuhnya.

Kata hakim itu, berdasarkan keterangan plantif, mahkamah mendapati Adenan merupakan pengawal sebenar operasi dalam urus niaga syarikat tersebut.

Oleh itu mahkamah mendapati penipuan terhadap plaintif-plaintif berlaku melalui satu siri representasi dan penyembunyian fakta yang material.

Ini kerana, katanya, ADN Properties melalui ejen-ejennya dan Adenan menggambarkan bahawa syarikat tersebut merupakan pemilik tanah yang mempunyai hak nyata untuk menjual lot tertentu dan dilihat mampu membina milik lot tersebut dalam tempoh yang dinyatakan dalam perjanjian jual beli (SPA).

“Fakta material yang tidak didedahkan sepenuhnya ialah ADN bukan pemilik berdaftar dan harga belian tanah induk belum diselesaikan. Urusan pusaka dan kelulusan tanah belum sempurna, malah ADN belum berada dalam kedudukan untuk menjamin pindah milik lot tertentu,” katanya.

Justeru mahkamah mendapati syarikat itu melakukan kemungkiran asas iaitu menerima harga penuh, tetapi gagal menyerahkan hak dan janji dan gagal memulangkan kembali wang yang diterima kepada pembeli-pembelinya.

Katanya, mahkamah mendapati Adenan tidak dipertanggungjawabkan semata-mata kerana beliau merupakan pengarah syarikat.

“Beliau pelaku aktif yang mengawal syarikat, menandatangani perjanjian jual beli, mengetahui hak milik dan pembayaran induk belum sempurna, terus menjual lot dan tidak memulangkan wang yang diterima daripada plaintif.

“Representasi bahawa ADN mampu menyampaikan lot dibuat sekurang-kurangnya secara melulu tanpa peduli. Susulan itu ‘tort dispute’ iaitu pertikaian undang-undang sivil akibat perbuatan salah telah dibuktikan terhadapnya,” katanya.

Dalam prosiding hari ini, kesemua plaintif diwakili peguam Bhavanash Sharma.

Sebelum ini, tindakan sivil difailkan oleh pembeli terhadap semua defendan telah digabungkan dan dibicarakan bersama. Plaintif mendakwa bahan promosi menggambarkan tanah itu sesuai untuk pembangunan kediaman, dengan kemudahan seperti surau, sekolah dan pusat rekreasi.

Mereka mendakwa pembeli dimaklumkan status tanah pertanian boleh ditukar kepada pembangunan dengan bayaran tambahan RM1.50 bagi setiap kaki persegi.

Namun carian tanah yang dikemukakan dalam prosiding dikatakan menunjukkan tanah tersebut masih didaftarkan atas nama pemilik asal dan tidak pernah dipindah milik kepada ADN Properties. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |