Dari sunyi bertukar meriah, rumah ‘diserbu’ kenalan Threads

6 hours ago 5

PETALING JAYA – Seorang wanita tidak menyangka tindakannya mengajak kenalan di media sosial untuk beraya ke rumah ibunya mendapat perhatian warga Threads.

Menerusi hantaran di Threads Alynn Amalina, dia memaklumkan bahawa rumahnya tidak menerima sebarang tetamu meskipun pelbagai juadah telah dimasak oleh ibunya.

Katanya, dia tidak mempunyai adik-beradik yang ramai selain saudara-mara juga menetap di Sarawak sementara mereka sekeluarga tinggal di Batu Gajah, Perak.

“Rumah mak saya tak ada orang datang beraya.
Mak masak rendang ayam, daging masak hitam, bihun sup tulang, lontong dan banyak kuih raya.

“Kami tak ramai tuga beradik saja saudara mara jauh sebab mak dari sarawak. Kawan pun tak ramai. Ada ke yang sudi datang beraya kalau mak nak jamu makan semua ni?,” katanya.

Hantaran itu kemudian mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna Threads yang kebetulan berada di sekitar kawasan Batu Gajah.

Alynn Amalina kemudian berkongsi beberapa gambar memaparkan rakan-rakan baharunya dari aplikasi Threads yang sudi berkunjung ke rumahnya tidak lama selepas memuat naik hantaran itu.

“Kerja gila raya 2026, daripada orang tidak dikenali kepada keluarga. Mak saya gembira, terima kasih semua yang datang menjamu selera masakan air tangan mak.

“Kalau boleh semua dia nak bawa keluar dari dapur nak jamu makan. Mak panggil kalian “kawan online”. Mak siap rancang dah tahun depan suruh jemput lagi,” katanya.

Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna turut berkongsi perasaan gembira apabila melihat persahabatan yang terjalin melalui aplikasi itu.

“Ini betul-betul ‘random’ punya cerita. Siang tadi dah baca dah Threads awak ni dan jemput sesiapa datang, sekali betul-betul jadi dan ramai datang. Itulah hikmah raya dan juga kuasa media sosial. Ni antara cerita paling mengharukan daripada semua yang baca kat Threads harini,” kata Kamil.

“Awak buat ibu awak tersenyum, anak yang bagus. Saya rasa hataran awak bersahaja, tapi netizen Threads pula ‘function’, Alhamdulillah suka ‘vibe’ positif ini,” kata Mas.

“Mesti mak awak tidur dengan senyuman yang sangat puas kan? Dapat jamu tetamu makan, habis semua makanan yang dia masak. Semoga mak awak sihat-sihat selalu,” kata Bintu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |