Dana Iklim+ sasar pelaburan RM2 bilion

5 hours ago 2

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melancarkan Dana Iklim+, dana pelaburan pertama negara yang memfokuskan kepada iklim dengan sasaran pelaburan sebanyak RM2 bilion bagi mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah Sifar Bersih (Net Zero).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dana tersebut merupakan satu inisiatif pelaburan strategik yang berperanan besar dalam membantu Malaysia mengurangkan pelepasan karbon serta memperkukuh teknologi hijau tempatan.

Beliau berkata, Dana Iklim+ bukanlah skim bantuan atau geran, sebaliknya dana berpusing (revolving fund) yang bertujuan melabur dalam projek berimpak iklim serta menjana pulangan mampan.

“Ini bukan dana bantuan, Dana Iklim+ berfungsi sebagai pelaburan yang memberi kesan berganda di samping menjana keuntungan, ia menyokong aktiviti dan teknologi yang boleh mengurangkan pelepasan karbon serta meningkatkan usaha pengurusan perubahan iklim negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Dana Iklim+ sempena Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur (KLSS) 2025, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Johari berkata, dana itu boleh digunakan bagi membiayai pelbagai projek termasuk projek kredit karbon dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi seperti penanaman semula hutan.

Katanya, projek-projek sebegitu bukan sahaja membantu menambah nilai ekonomi baharu, malah menyediakan asas penting bagi pembangunan pasaran karbon negara.

“Contohnya, kalau kita buat projek penanaman semula hutan, pelaburan itu boleh menjana kredit karbon yang boleh diniagakan. Sekarang harga kredit karbon di Malaysia sekitar AS&3 hingga AS$20 satu tan karbon, sedangkan anggaran IMF ialah antara AS$50 hingga AS$150.

“Jadi, bayangkan potensi besar yang kita ada kalau Malaysia berjaya memperkukuh pasaran karbon domestik,” katanya.

Beliau berkata, Bursa Malaysia juga berpotensi menjadi hab serantau bagi perdagangan karbon, sama seperti peranannya dalam dagangan minyak sawit kini.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |