KUALA LUMPUR – Didakwa intim dengan seorang penerbit, pelakon Hisyam Hamid mengakui menjarakkan diri dengan wanita terbabit bagi mengelakkan orang luar salah faham terhadap persahabatan mereka.
Hisyam, 40, berkata, tindakan tersebut disepakati dengan rakannya itu secara bersama, sekali gus diharap tiada lagi spekulasi liar yang hakikatnya sekadar tanggapan segelintir pihak.
“Sebenarnya kami sudah lama kawan, anak-anak pun mengenalinya sama macam mereka kenal kawan saya yang lain. Kami selesa bersahabat.
“Tiada yang berbeza pun dalam persahabatan kami ini. Cuma apabila khabar angin (bercinta) mula diperkatakan, kami menjarakkan diri,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Black Ops: Operasi Serigala, baru-baru ini.
Pada masa sama, bapa tunggal kepada dua cahaya mata itu berharap agar mana-mana pihak berhenti memperkatakan gosip cinta disebabkan enggan memberikan kesan terhadap anak-anaknya.
“Bukan baru sekali dua saya didakwa bercinta. Apa pun saya kurang selesa dengan gosip begini. Mungkin orang lain boleh terima, tetapi tidak saya.
“Atas sebab itu saya memilih tidak tidak terlalu rapat dengan mana-mana wanita agar tidak timbul spekulasi seperti ini.
“Anak-anak pun makin besar. Sebagai ayah, saya rasa tak seronok kalau mereka baca gosip macam ini. Kenalah jaga perasaan mereka,” ujarnya yang mengumumkan bercerai pada Mei 2024.
Sementara itu, mengenai filem lakonan terbarunya di bawah arahan Syafiq Yusof, kata Hisyam banyak pengalaman diraih di set penggambaran.
“Ini pertama kali saya bekerja dengan Syafiq, bahkan naskhah ini juga merupakan kerjasama Skop Productions dengan produksi Kong Kong milik aktor Louis Koo.
“Tentu sahaja banyak ilmu saya kutip kerana dapat juga bekerja dengan sutradara Hong Kong. Ikutkan penggambaran selama 80 hari. Sekarang kami sudah ‘shooting’ sebulan,” katanya mengenai filem yang bakal ditayangkan akhir tahun ini. – KOSMO! ONLINE

15 hours ago
4

















































