Curang punca tikam rakan serumah 21 kali

4 hours ago 2

JASIN – Polis mengesyaki perasaan cemburu menjadi motif utama kejadian seorang lelaki warga Bangladesh menikam dan menetak rakan serumahnya sebanyak 21 kali sebelum bertindak menggantung dirinya di sebuah rumah sewa di Taman Cempaka 2, Durian Tunggal, semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, suspek yang berusia 31 tahun dipercayai mengesyaki isterinya, seorang warga Indonesia menjalinkan hubungan sulit dengan mangsa, 42 tahun.

Katanya, sebelum kejadian isteri suspek turut dilaporkan telah melarikan diri bersama anak mereka kira-kira dua minggu lalu.

“Kita percaya motif utama kejadian adalah disebabkan rasa cemburu kerana lelaki yang menggantung diri itu mempunyai isteri warga Indonesia yang tinggal bersamanya.

“Sebelum kejadian, wanita terbabit pula dilaporkan melarikan diri bersama seorang anak mereka dan kita syak berlaku perselingkuhan antara isterinya dengan mangsa yang ditikam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, hari ini.

Tambahnya, identiti wanita berkenaan telahpun dikenal pasti dan siasatan lanjut mendapati mangsa yang mati ditikam juga mempunyai isteri, namun berada di Bangladesh.

Ujarnya lagi, hasil siasatan di lokasi telah menjumpai senjata iaitu sebilah parang dan dua pisau yang dipercayai digunakan oleh suspek.

“Kita percaya suspek menggunakan ketiga-tiga senjata ini, pisau itu digunakan untuk menikam di seluruh badan mangsa, manakala parang digunakan untuk menetak di bahagian kepala dengan keseluruhan terdapat 21 kesan kecederaan.

“Kejadian itu disedari oleh seorang lagi rakan serumah mereka yang baru pulang dari kerja dan ternampak mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah di dapur ketika melihat melalui tingkap, kerana pintu rumah berkunci,” ujarnya.

Dzulkhairi berkata, setakat ini kes masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kosmo! malam tadi melaporkan seorang lelaki ditemui maut dipercayai akibat ditetak, manakala seorang lagi dalam keadaan tergantung di dalam sebuah rumah di Taman Cempaka 2, Durian Tunggal.

Menurut sumber, mayat kedua-dua lelaki itu ditemui oleh orang awam sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak polis kira-kira pukul 7 malam.

Jiran mangsa turut mendakwa mendengar kedua-dua si mati bertengkar kira-kira pukul 5.50 petang sebelum pembunuhan itu berlaku. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |