Buli satu jenayah, RUU Antibuli 2025 bakal dibentang

6 days ago 11

PETALING JAYA – Buli bukan lagi isu remeh, sebaliknya satu jenayah senyap yang telah meragut nyawa, menanam trauma berpanjangan dan membunuh potensi insan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 pada sesi mesyuarat Parlimen kali ini.

“Buli ialah jenayah senyap yang mesti dinoktahkan. Gejala ini sama ada di sekolah, universiti, tempat kerja mahupun di alam maya, telah membunuh potensi, menanam trauma berpanjangan, malah
meragut nyawa insan.

“Kita mesti putuskan rantaian kezaliman ini sampai ke akar, melalui didikan empati dan penguatkuasaan tanpa kompromi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Anwar, seluruh jentera merentasi kementerian akan digerakkan bagi mengekang gejala buli secara menyeluruh.

“KPM (Kementerian Pendidikan) membangunkan Kerangka Antibuli Sekolah (Safe) sebagai rangka menyeluruh pencegahan buli di sekolah. Ini termasuk memperkasa peranan guru dan murid melalui Program Amalan Sekolah Penyayang.

“KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi) meningkatkan keselamatan mahasiswa di kampus dengan menambah CCTV (televisyen litar tertutup) dan menganjurkan program sahsiah serta kepimpinan sebagai bentuk pencegahan buli dan ragging.

“KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) menyediakan sokongan psikososial melalui sesi kaunseling berkelompok,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata, Kementerian Komunikasi turut melaksanakan Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber dalam kalangan pelajar sekolah.

“Rakan Muda menggerakkan ikhtiar ‘Lawan Buli’ dalam kalangan belia di akar umbi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, kerajaan juga menegaskan komitmen menangani ancaman siber yang semakin membimbangkan dengan penggubalan RUU Jenayah Siber bagi memperkukuh kawalan terhadap penipuan dan eksploitasi digital.

“Agensi Keselamatan Siber Negara menubuhkan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi bagi memperkukuh kedaulatan digital dan keselamatan siber negara. Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) kini dikemudi secara langsung oleh PDRM agar pengendalian kes penipuan kewangan lebih pantas dan cekap dengan diperuntukkan RM12 juta.

“Peranan D11 PDRM diperkasa dalam menangani jenayah seksual yang mengeksploitasi kanak-kanak di ruang siber. RM20 juta bagi memodenkan sistem dan kepakaran forensik digital, selain menubuhkan Behavioural Science Unit yang menganalisis pola tingkah laku dan profil jenayah,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |