Bicara Zayn Rayyan: Saya sangka mungkin dia disorok hantu – Saksi

4 hours ago 2

PETALING JAYA – Saksi pendakwaan ketujuh memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini dia beranggapan terdapat unsur mistik dalam kes kehilangan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin.

Ahmad Nur Syaharuddin Mad Zawawi, 36, berkata, dia percaya jasad Zayn Rayyan mungkin “disorokkan”.

Pendakwaan: Terangkan kenapa berjalan ke belakang Blok R, (Apartment Idaman). Siapa maklumkan?

Saksi: Tiada yang maklumkan apa-apa, kami terasa…sebab fikir kadang-kadang ada perkara mistik.

Pendakwaan: Setelah jalan ke belakang Blok R, apa yang berlaku?

Saksi: Kami mula pencarian di khemah, kemudian ke hilir anak sungai sehingga penemuan (lokasi) jasad.

Saksi itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Haresh Mahadevan yang bertanya mistik yang dimaksudkan, saksi itu memaklumkan ia mungkin disorokkan hantu.

Peguam: Jadi kamu percaya ada unsur mistik dalam penemuan jasad Zayn Rayyan?

Saksi: Bukan pada penemuan jasad, masa awal kehilangan saya sangka dia mungkin disorok hantu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh bersambung lagi esok.

Mengikut pertuduhan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf berusia 30 tahun sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka berusia enam tahun ketika kejadian didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |