Bicara selesai, hakim nasihat tidak bincang dalam media sosial

21 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Selepas tiga hari berlangsung, perbicaraan kes saman antara bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir terhadap ahli perniagaan Datuk Seri Aliff Syukri Kamaruzaman selesai di Mahkamah Tinggi hari ini.

Hakim Roslan Mat Nor menutup perbicaraan itu selepas Aliff Syukri selaku defendan selesai memberi keterangannya termasuk disoal balas peguam daripada pihak plaintif selain Abdul Kadir selaku plaintif telah selesai memberi keterangannya selama dua hari bermula selasa lalu.

Mahkamah menetapkan 9 dan 30 Mac bagi pemfailan hujahan dan hujahan balas serta 29 April bagi hujahan lisan kedua-dua belah pihak sebelum keputusan diputuskan.

Dalam prosiding sama, Hakim Roslan turut menasihati peguam kedua-dua pihak supaya tidak membincangkan perbicaraan kes ini di mana-mana media sosial sehingga kes diputuskan kelak.

“Ini kerana mahkamah memutuskan kes ini berdasarkan keterangan yang ada dan bukan fakta-fakta lain,” kata Hakim Roslan.

Sepanjang prosiding, Abdul Kadir diwakili peguam Ravichandaran Selliah manakala Aliff Syukri diwakili peguam Zulfahmi Abu Bakar.

Abdul Kadir, 86, selaku plaintif memfailkan saman pada 6 September 2023 dengan mendakwa Aliff, 39, yang terlibat dalam industri hiburan dengan jumlah pengikut ramai di media sosial mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap plaintif di Instagram dan Facebook pada 2 Julai 2023.

Plaintif mendakwa kenyataan tersebut membawa maksud antaranya plaintif berhutang dengan defendan berjuta ringgit selain gambar plaintif yang diletakkan pada kenyataan itu mengundang komen negatif daripada pembaca.

Oleh itu, plaintif menuntut defendan membayar RM70 juta untuk libel (fitnah bertulis) dan ganti rugi yang dinilai oleh mahkamah selain perintah supaya defendan memberikan aku janji bertulis untuk tidak akan menyiarkan sebarang fitnah terhadap plaintif serta permohonan maaf tanpa syarat yang disiarkan di akaun media sosial defendan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah ini.

Sementara Aliff Syukri pula menerusi pernyataan pembelaannya mendakwa beliau telah membuat bayaran pelaburan sebanyak RM30 juta bagi mematuhi perjanjian usahasama bertarikh 26 November 2018 yang melibatkan plaintif, defendan serta dua syarikat.

Dakwanya, pihak-pihak di dalam perjanjian usahasama gagal membuat pembayaran wang yang telah dilaburkan selain segala pelanggaran-pelanggaran janji sedemikian termasuklah akujanji yang diberikan plaintif kepadanya adalah di dalam pengetahuan plaintif sendiri. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |