MUAR – Seorang wanita tempatan dan teman lelakinya yang merupakan warga asing dicekup Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Johor dalam serbuan di sebuah rumah ,di sini, Sabtu lalu.
JAINJ dalam satu kenyataan memaklumkan, Bahagian Penguatkuasaan jabatan itu melakukan serbuan kira-kira pukul 10 pagi selepas mendapat aduan daripada orang awam.
“Ketika serbuan lelaki terbabit yang berusia lingkungan 40-an hanya memakai kain pelekat tanpa baju cuba melarikan diri melalui pintu belakang tetapi berjaya ditahan anggota penguat kuasa.
“Wanita berkenaan pula ditemui dalam keadaan berkemban dengan kain batik dan hanya menutup tubuh menggunakan tuala.
“Hasil siasatan mendapati mereka telah tinggal serumah sejak dua tahun lalu dan wanita tersebut baru sahaja melahirkan seorang bayi berusia tiga bulan di hospital Muar,”katanya.
Jelasnya lagi, pasangan berkenaan disyaki bersekedudukan selama dua tahun hingga melahirkan seorang anak hasil hubungan sulit tersebut.
JAINJ memberitahu, bayi berkenaan mempunyai surat beranak tetapi dalam dokumen tersebut tidak menyatakan nama bapa.
Siasatan turut mendapati suspek lelaki bekerja sebagai tukang rumah dan semasa serbuan, pasangan tersebut mendakwa sudah bernikah di Indonesia.
Bagaimanapun, pasangan berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen atau bukti sah pernikahan tersebut.
“Mereka juga tidak dapat menyatakan tarikh sebenar pernikahan serta tiada rekod pernikahan yang sah. Pasangan tersebut dibawa ke Pejabat Agama Daerah Muar untuk siasatan lanjut dan akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah bagi membuktikan dakwaan telah bernikah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana persetubuhan luar nikah yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau enam kali sebatan, atau kombinasi hukuman tersebut jika sabit kesalahan,”kongsinya.-KOSMO! ONLINE