Beri kepercayaan kepada penjawat awam teruskan agenda pembangunan negara – Cuepacs

8 hours ago 1

PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyeru kerajaan untuk terus memberi kepercayaan kepada penjawat awam dalam meneruskan agenda pembangunan negara.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, ia susulan kejayaan luar biasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengutip hasil bersih sebanyak RM65.57 bilion bagi tahun 2024.

Katanya, kejayaan itu wajar dijadikan model untuk jabatan lain dalam meningkatkan keberkesanan perkhidmatan awam, sekali gus memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap keupayaan sektor awam dalam mengurus sumber negara dengan cekap dan berintegriti.

“Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan kecekapan serta dedikasi tinggi penjawat awam dalam sektor percukaian negara, tetapi juga hasil daripada dasar ekonomi dan pentadbiran di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Cuepacs juga ingin merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin atas kepimpinan cemerlang beliau dalam mengemudi JKDM sehingga mencapai kejayaan luar biasa ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Adnan, sebagai penerima Anugerah Tokoh Wanita Cuepacs 2024, kejayaan ini menjadi bukti nyata keupayaan dan dedikasi Anis Rizana dalam memperkasakan jabatan serta memastikan pengurusan hasil negara yang lebih cekap dan berintegriti.

Tambahnya, pencapaian itu juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan integriti dan profesionalisme dalam perkhidmatan awam, khususnya dalam mengoptimumkan pemungutan hasil negara.

“Cuepacs turut menyokong usaha kerajaan memperkasakan JKDM melalui sokongan sumber manusia dan teknologi canggih bagi meningkatkan kecekapan pemungutan cukai serta mempercepatkan proses pentadbiran melalui sistem digitalisasi dan automasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |