PETALING JAYA – Seorang pelanggan kecewa apabila nasi yang dibelinya turut ‘disertakan’ dengan lauk ‘istimewa’ iaitu seekor pacat, sekali gus mengundang rasa geli dalam kalangan pengguna media sosial.
Menerusi perkongsian gambar dan video pengguna Thread @Inahempire memperlihatkan, seekor pacat sedang bergerak-gerak di dalam bekas makanan polisterin dibelinya di sebuah premis.
Pada video itu, nasi dan lauk juga dikatakan hampir separuh telah dimakan wanita tersebut selain terdapat sayur ulam-ulaman turut dibelinya.
“Allah, minta maaf terpaksa kongsikan sebab kembang lagi tekak. Nasi nampak tak telan, nak hilang macam mana ni, bukan ulat sayur tapi pacat. Orang kata kalau masuk perut boleh membiak, betul ke?,” katanya pada hantaran berkenaan.
Dia turut memuat naik hantaran terbaharu yang mana wanita itu masih tidak boleh makan nasi gara-gara kejadian berkenaan.
“Disebabkan hal kemarin (kelmarin dialek Pantai Timur), masih tak boleh nak telan nasi walaupun masak sendiri. Mari teringat nasi yang beli marin. Sayur ulam ada pacat sebab makan dah nak habis, baru nampak gerak-gerak.
“Terus fobia nak beli sayur pun takut. Hilang nikmat makan, Allahu,” katanya.
Menerusi ruangan komen, orang ramai memaklumkan, kemungkinan pacat berada dalam bekas makanan polisterin tersebut adalah daripada ulam-ulaman yang turut dibeli wanita itu.
“Sebab itu tak suka ambil ulam kat kedai makan. Kalau kat kenduri pun sama,” komen @Frhsyuhadaa_.
“Allahuakbar, berdiri bulu roma tengok pacat gerak-gerak macam tu. Macam mana lah dia orang cuci sayur tu, mesti cuci ala kadar je ni,” komen @Izaismail1307.
“Saya pernah kena sekali, ingatkan cendawan. Rupa-rupanya lintah mati dalam makanan saya. Hampir-hampir nak makan, nasib baik saya periksa lagi sekali,” komen @Zed_aida. – KOSMO! ONLINE