PETALING JAYA – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) menyambut baik Belanjawan Madani 2026 yang menumpukan keseimbangan antara kemajuan ekonomi serta kemampanan sumber tenaga dan air demi kesejahteraan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pendekatan itu sejajar dengan misi kementeriannya untuk memastikan akses tenaga dan air yang bersih, selamat serta mampu milik bagi semua rakyat Malaysia.
“Belanjawan Madani 2026 adalah belanjawan rakyat yang digerakkan oleh suara dan aspirasi rakyat, mencerminkan semangat kerjasama antara kerajaan dan rakyat dalam membina masa depan makmur serta inklusif.
“Ia berteraskan kemampanan, ketahanan dan pertumbuhan, di samping menegaskan bahawa disiplin fiskal, ketelusan serta keadilan sosial menjadi asas kekuatan ekonomi negara,” katanya hari ini.
Menurut Fadillah yang juga Menteri Petra, kerajaan memperuntukkan RM5.19 bilion bagi sektor tenaga dan air, merangkumi RM392.74 juta untuk perbelanjaan mengurus dan RM4.8 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, menggambarkan komitmen berterusan dalam membina daya tahan ekonomi serta kesejahteraan rakyat jangka panjang.
Katanya, antara inisiatif dinikmati Petra termasuk Program Pemuliharaan Sungai dan Sistem Saliran bernilai RM2.2 bilion melibatkan 43 projek tebatan banjir serta 12 projek baharu.
Turut melibatkan, Program MASMA (Memperbaiki, Mengindah, Membersih dan Merawat Air Sungai dan Infrastruktur) dengan peruntukan RM292 juta bagi pemuliharaan sungai dan sistem pengurusan air lebih mampan.
“Dalam usaha mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih (Net Zero Carbon) menjelang 2050, PETRA turut melaksanakan beberapa program strategik.
“Program Bijak Tenaga MADANI (NEEAP 2.0) dengan peruntukan RM20 juta, menumpukan kecekapan tenaga di sektor domestik, industri dan komersial,” ujarnya.
Jelasnya ia turut melibatkan, Program Pembangunan Tenaga Nuklear (MyPOWER) bernilai RM28.6 juta bagi kesiapsiagaan infrastruktur dan tadbir urus tenaga nuklear mengikut piawaian International Atomic Energy Agency (IAEA).
Fadillah berkata, Sabah dan Sarawak turut menerima peruntukan tertinggi dalam sejarah iaitu RM6.9 bilion dan RM6 bilion masing-masing, sebagai pelaburan strategik dalam sektor tenaga, air, jalan raya dan digitalisasi, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Selain itu katanya, Pemberian Khas bagi Sabah dan Sarawak turut ditingkatkan kepada RM600 juta.
“Belanjawan Madani 2026 mencerminkan iltizam kerajaan membina ekonomi mampan, rakyat berdaya tahan dan negara makmur.
“Petra kekal komited memperkukuh sektor tenaga dan air secara berhemah, mampan serta berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya. – KOSMO! ONLINE