PETALING JAYA – Belanjawan Madani Keempat yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan bukan sekadar dokumen kewangan, tetapi bukti nyata bahawa hasil reformasi dan pembaharuan kerajaan kini benar-benar sampai kepada rakyat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata belanjawan bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’ itu menandakan fasa baharu dalam pelaksanaan Ekonomi Madani yang digerakkan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Kerangka besar Ekonomi Madani digerakkan untuk rakyat. Ia memastikan negara terus mempunyai kemampuan menyediakan kemudahan asas, mencipta pekerjaan, menjana pendapatan dan meringankan kos sara hidup.
“Setelah berani membawa reformasi, kini tiba masanya untuk memulangkan hasilnya kepada rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan seluruh kerajaan atas sokongan berterusan terhadap kementerian itu.
Katanya, peningkatan peruntukan kepada RM21.2 bilion berbanding RM19.5 bilion tahun sebelumnya mencerminkan pengiktirafan besar kerajaan terhadap peranan penting KDN dalam memastikan keselamatan, ketenteraman serta kesejahteraan rakyat Malaysia.
Saifuddin berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk memperkukuh aset keselamatan, menaik taraf kemudahan pasukan beruniform di bawah KDN, mempertingkat kawalan sempadan dan memperkukuh keupayaan negara dalam menangani ancaman siber serta jenayah digital.
Selain itu, katanya, kebajikan anggota beruniform juga terus diberi perhatian dalam Belanjawan Madani 2026.
“Terima kasih kepada Kerajaan Madani atas keyakinan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada KDN.
“Amanah ini akan kami terus galas dengan penuh dedikasi demi memastikan Malaysia kekal aman, makmur dan sejahtera,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE