MELAKA – Seorang bekas wartawan didakwa hari ini atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM36,824.50 dan memalsukan dokumen berkaitan janji penganugerahan Gelaran Datuk Seri sempena Majlis Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Nurfateha Othman, 44, yang juga bekas ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan, bagi kesemua pertuduhan tersebut.
Keempat-empat pertuduhan itu telah dibacakan di Hospital Melaka selepas mahkamah membenarkan prosiding dijalankan di pusat perubatan tersebut susulan tertuduh sedang menerima rawatan dan dimasukkan ke dalam wad.
Tertuduh didakwa menerima wang rasuah daripada seorang ahli perniagaan sebagai dorongan untuk menjanjikan penganugerahan gelaran tersebut sedangkan tertuduh tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan gelaran berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang rasuah berjumlah RM25,559.50 antara 23 November 2022 hingga 23 November 2023 melalui transaksi atas talian daripada akaun bank milik syarikat isteri kepada ahli perniagaan tersebut.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima wang rasuah berjumlah RM2,440 antara 13 Disember 2022 hingga 1 Jun 2023 melalui transaksi atas talian daripada akaun bank peribadi milik isteri kepada ahli perniagaan tersebut.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima wang rasuah berjumlah RM8,825 antara 28 Disember 2022 hingga 2 November 2023 ke dalam akaun bank miliknya melalui transaksi atas talian daripada akaun bank peribadi milik individu sama.
Kesemua perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sebuah bank di Melaka dan kesalahan-kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Selain itu, tertuduh turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana didakwa pada September 2023 telah memberikan dokumen palsu iaitu Surat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka 2023 kepada ahli perniagaan terbabit dengan niat untuk menipu, sedangkan tiada sebarang pengurniaan sebenar dibuat.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda bagi pertuduhan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari, manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.
Elesabet kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai Johor Bahru untuk pemerhatian bagi mendapatkan perakuan bertulis daripada Pengarah Perubatan berkenaan keadaan tertuduh.
Tertuduh tidak ditawarkan jaminan dan tarikh 23 Februari 2026 ditetapkan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
4

















































