PETALING JAYA – Bekas Panglima Tentera Darat yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penerimaan rasuah melibatkan projek tender perolehan Tentera Darat Malaysia direman selama tujuh hari, bermula hari ini.
Turut direman, dua isteri suspek yang mana isteri pertama selama tiga hari sehingga 10 Januari manakala isteri kedua selama enam hari sehingga 13 Januari.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut SPRM, permohonan reman yang dibuat pegawai penyiasat atas alasan siasatan melibatkan dakwaan penerimaan wang rasuah secara terancang, yang dipercayai melibatkan rangkaian rasuah lebih luas serta kemungkinan penglibatan beberapa pegawai lain.
Permohonan reman turut dibuat bagi membolehkan pihak SPRM menjalankan siasatan lanjut termasuk meneliti dan merujuk sejumlah besar dokumen berkaitan perolehan dan mengesan individu-individu lain yang dipercayai terlibat.
Selain itu, ia juga bagi mengesan aset serta proksi yang disyaki digunakan, selain menghalang sebarang kemungkinan suspek menghubungi saksi-saksi lain atau mengganggu serta memusnahkan bahan bukti yang masih belum diperoleh sepenuhnya.
SPRM berkata, kesemua suspek yang berusia antara 20 hingga 50-an telah ditahan kira-kira pukul 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut.
Beliau menegaskan, orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
Sebelum ini, seramai 17 pengarah syarikat direman selama lima hari sehingga 10 Januari kerana disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat.
SPRM pada 23 Disember tahun lalu telah hadir ke Kementerian Pertahanan (Mindef) dan menyiasat projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
SPRM turut menjalankan operasi penggeledahan di kediaman rasmi pegawai kanan Tentera Darat dan menyita beberapa barangan mewah bernilai tinggi termasuk jam tangan dan beg tangan mewah yang dipercayai berkait dengan siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE

21 hours ago
8

















































