KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersedia mengambil langkah berani dengan melaksanakan polisi ketelusan penuh membabitkan pendedahan kontrak, gaji serta kos perbelanjaan setiap pemain pada masa depan.
Presidennya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan penaja serta rakyat mengetahui secara jelas ke mana setiap sen dana badan induk itu disalurkan.
Jelasnya, cadangan tersebut akan dibentangkan dalam Mesyuarat Ahli Majlis BAM esok, dengan fokus utama untuk mengimbangi perbelanjaan antara pemain elit dan program pembangunan jangka panjang.
“Saya mahu BAM lebih telus. Kita akan maklumkan berapa gaji pemain dan berapa kos sebenar menanggung setiap pemain supaya penaja dan rakyat tahu.
“Memang ia akan memberi sedikit tekanan kepada pemain, tetapi di peringkat antrabangsa, ini adalah amalan biasa,” katanya ketika melawat pusat media sempena Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.
Mengulas mengenai isu kontrak, Tengku Zafrul menepis spekulasi kononnya wujud tuntutan kenaikan gaji atau bonus baharu daripada pemain bintang negara.
Tegasnya, kesemua tonggak utama, termasuk juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, sudah pun menandatangani kontrak lanjutan sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Beliau turut mengakui bahawa BAM berdepan cabaran besar untuk mengekalkan struktur gaji tinggi bagi jangka masa panjang tanpa pembiayaan tambahan.
“Kos pengurusan BAM mencecah puluhan juta ringgit setahun, sedangkan dana kerajaan hanya sekitar RM5 hingga RM6 juta. Ia sangat mencabar dari segi kemampanan,” ujarnya.
Susulan itu, BAM merancang melakukan mengimbangi semula bajet dengan memberi tumpuan lebih agresif kepada program pembangunan pemain pelapis, berbanding hanya memfokuskan kepada pemain elit sedia ada.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut menyentuh prestasi pemain di Terbuka Malaysia, menyifatkan penyingkiran awal beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah sebagai mengecewakan, namun tetap realistik dengan faktor keletihan dan tekanan yang dihadapi mereka di laman sendiri.
Begitupun, Tengku Zafrul memuji peningkatan yang dipamerkan oleh barisan beregu lelaki muda dan beregu campuran negara.
Bagi memastikan prestasi pemain elit kekal di tahap terbaik optimum, Tengku Zafrul menegaskan BAM akan lebih selektif dalam pemilihan kejohanan, mengambil iktibar daripada kegagalan meraih sebarang gelaran Super 1000 tahun lalu akibat jadual terlalu padat.
“Zaman Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan dahulu, mereka tidak masuk semua kejohanan. Mereka memilih kejohanan yang disertai. Kita perlu kembali kepada pendekatan itu,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

15 hours ago
7















































