Bakal pesara, veteran ATM jalani latihan peralihan terus di industri

6 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Kemahiran bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas tamat perkhidmatan terus diperkasa agar terus berdaya saing menerusi insiatif strategik, Pelan Transformasi PERHEBAT 2026-2035 yang dilancarkan hari ini.

Pelan ini merupakan usaha strategik Kementerian Pertahanan melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dalam meningkatkan kemahiran sekali gus meluaskan peluang pekerjaan untuk kumpulan sasar.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, berbeza dengan sebelum ini, latihan peralihan kini dijalankan terus di industri bagi membiasakan veteran ATM dengan suasana kerja sebenar dan keperluan pasaran semasa.

“Kita tidak boleh bergerak dengan cara lama. Kerana dunia telah berubah. Keperluan industri telah berubah. Jadi pendekatan kita juga mesti berubah.

“Kalau kita lihat data semasa, daripada lebih 189,000 orang veteran ATM, hanya sekitar 33,000 atau 17.4 peratus daripada mereka yang bekerja.

“Selebihnya menjadi usahawan kecil atau tidak bekerja langsung malah ada juga yang hidup ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Transformasi PERHEBAT 2026–2035 di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, disebabkan itu, Pelan Transformasi PERHEBAT 2026-2035 ini akan mewujudkan ekosistem bersepadu yang menghubungkan bakal veteran secara langsung dengan industri dan pasaran kerja.

Dalam konteks itu, Mohamed Khaled menyeru agar Perhebat memperkukuh kerjasama dengan pemain industri termasuk syarikat di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan sektor swasta lain bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan latihan.

Katanya, antara tumpuan pelan ini ialah memperluas pelaksanaan Work-Based Learning (WBL) yang membolehkan kemahiran anggota ATM diiktiraf secara rasmi, sekurang-kurangnya di peringkat diploma, agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran kerja.

“Berbeza dengan TVET, pelajar datang untuk belajar dan ambil sijil atau diploma. Tetapi veteran ATM ini mereka memang telah pun mempunyai kemahiran dan melalui program ini mereka akan mendapat diploma untuk mengiktiraf kemahiran yang sedia ada.

“Tempat latihan utama adalah di industri itu sendiri, bukan hanya di pusat-pusat Perhebat. Di situlah pesara ATM akan diuji, diasah dan diserap terus bekerja,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Mohamed Khaled turut menyaksikan simbolik penyerahan dokumen kerjasama di antara Perhebat dan 44 agensi serta syarikat swasta termasuk penyerahan surat tawaran pekerjaan kepada veteran.

Beliau berkata masih banyak ruang untuk ditambah baik dan pihaknya mahu sistem padanan kemahiran, lokasi dan peluang pekerjaan yang lebih efektif supaya peralihan pesara tentera menjadi lebih lancar.

“Selepas bersara pada usia sekitar 40-an, ramai anggota ATM masih bertenaga dan berupaya untuk bekerja. Adalah satu kerugian besar jika potensi mereka tidak dimanfaatkan,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |