‘Baju Melayu simbol maruah bangsa, harus bangga’

7 hours ago 6

MENJUNJUNG adat, mempertahankan budaya. Itulah tekad pelakon dan penerbit tersohor, Datuk Rosyam Nor dalam mengangkat martabat busana warisan bangsa.

Sebagai seorang yang cukup sinonim dengan karakter maskulin dan penuh wibawa, pemilik nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin itu mahu melihat orang Melayu, khususnya anak muda lebih menghargai identiti mereka.

Atas kapasiti pemikir seni yang tidak gentar menyuarakan kebenaran, Rosyam melihat baju Melayu sebagai satu rekaan penuh falsafah yang seharusnya terus dijulang dalam arus pemodenan.

“Baju Melayu adalah satu ciptaan istimewa yang diwariskan oleh generasi terdahulu. Ini ‘jubah’ orang Melayu! Kalau kita perhatikan, setiap bangsa ada jubah mereka sendiri ketika menunaikan umrah. Namun, mengapa kita tidak berbangga dengan pakaian sendiri?

“Orang Melayu seolah-olah hilang identiti apabila lebih memilih jubah negara lain. Sedangkan di Indonesia, masyarakat mereka cukup berbangga dengan batik.

“Baju Melayu bukan sekadar sehelai pakaian tetapi manifestasi ketulenan bangsa. Lihat sahaja lima butang pada baju Melayu, itu bukan sekadar hiasan tetapi melambangkan lima rukun Islam,” katanya kepada HibGlam.

Biarpun masa beredar, pelakon filem KL Gangster 2 itu tetap optimis bahawa baju Melayu boleh terus relevan dalam arus fesyen moden tanpa mengorbankan keasliannya.

Paling penting kata Rosyam, jenama Bulan Bintang yang diasaskan oleh Azzim Zahid, 28, membuktikan bahawa generasi muda mampu meneruskan legasi dengan cara tersendiri.

“Jenama ini satu manifestasi keberanian anak muda dalam dunia fesyen. Mereka tidak sekadar mahu menjual pakaian tetapi membina satu legasi. Baju Melayu bukan sekadar pakaian perayaan tetapi simbol maruah bangsa yang harus kita pakai dengan penuh rasa bangga.

“Baju Melayu yang mereka hasilkan membawa satu nilai sentimental tinggi. Moden dalam potongan, namun masih mengangkat elemen klasik seperti pesak yang suatu ketika dahulu menjadi lambang keanggunan seorang lelaki Melayu.

“Semoga kehadiran saya sebagai duta bukan sahaja membantu jenama ini mencapai kejayaan, tetapi juga meniup kembali semangat cinta terhadap busana tradisi dalam kalangan anak muda,” ujarnya.

Dengan bajet kempen raya mencecah RM15 juta, Bulan Bintang tampil gah dengan barisan duta ternama seperti Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Hannah Delisha, Datuk Remy Ishak, Nadhir Nasar, Mierul Aiman dan Johan Ghazali.

Turut menambah seri adalah barisan duta istimewa lain seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Joey Daud, Zamarul Hisham, Mimi Lana, Angeline Tan, Sabri Yunus, Zahirah Macwilson, Aiman Hakim Ridza serta Ain Edruce sekeluarga.

Tidak hanya terhenti di situ, Bulan Bintang turut mencipta kolaborasi bersama jenama gergasi seperti AirAsia, GB Gold, Hausboom, Tabung Haji, Kahf, Tealive, Tudung Ruffle, Russell Taylors, Mutu Case dan Mokkys Pizza.

Melangkah gagah dalam dunia fesyen, jenama itu membuktikan bahawa baju Melayu bukan sekadar pakaian tradisi tetapi warisan penuh makna yang harus terus dijulang tinggi. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |