BOLOGNA – Pendedahan jujur Ketua Ducati, Davide Tardozzi mencuri tumpuan dunia MotoGP apabila menegaskan Francesco Bagnaia masih belum mencapai tahap sebenar seorang juara meskipun sudah beberapa musim menjadi tonggak pasukan kilang.
Bagnaia yang menjadi tonggak Ducati sejak 2021 berdepan musim mencabar tahun lalu selepas bergelut menyesuaikan diri dengan jentera GP25, situasi yang menjejaskan konsistensinya dan membuka ruang kepada persaingan dalaman semakin sengit.
Meskipun sering mempertahankan anak buahnya, Tardozzi secara terbuka mendedahkan Bagnaia masih berada dalam fasa pembelajaran dan belum mencapai kematangan maksimum sebagai pelumba elit.
“Saya rasa salah satu isu utama Pecco ialah dia tidak pernah berhenti belajar. Dia masih berkembang. Saya yakin kita belum melihat Pecco yang terbaik. Dia sedang belajar dan banyak belajar daripada kesilapannya,” kata Tardozzi.
Menurut Tardozzi, proses itu tidak sentiasa indah kerana Bagnaia masih mengulangi kesilapan sama, namun itulah harga yang perlu dibayar untuk membentuk mentaliti juara sejati.
Dalam masa sama, Tardozzi turut menyentuh persepsi segelintir pihak yang masih ragu-ragu terhadap status Bagnaia sebagai juara sebenar meskipun pencapaiannya bersama Ducati sangat mengagumkan.
“Saya tahu masih ramai yang berfikir Pecco bukan seorang juara. Tetapi jika lihat prestasinya, sejak bersama pasukan kilang pada 2021, dia menang perlumbaan pertamanya di Aragon.
“Sejak itu, daripada 55 perlumbaan, dia menang 24. Siapa lagi pelumba yang memenangi hampir separuh daripada perlumbaan mereka dalam tempoh tiga tahun? Bagi saya, dia seorang juara,” tegas Tardozzi.
Kenyataan itu menggambarkan pendirian jelas Ducati bahawa Bagnaia sudah pun juara, tetapi bagi mereka, versi paling berbahaya dan lengkap Pecco masih belum muncul sepenuhnya. – AGENSI

1 day ago
3

















































