PUTRAJAYA- ASEAN dan Turkiye sepakat untuk bekerjasama dalam pembangunan semula Palestin termasuk dalam isu kemanusiaan selepas kemusnahan besar di wilayah itu akibat peperangan di Wilayah Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia mengambil peranan Kepengerusian ASEAN bagi memastikan sokongan diberikan mencukupi selepas pengumuman gencatan senjata antara Israel dan Hamas pada 19 Januari lalu.
“Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan pada bulan lalu telah mengadakan pertemuan dengan semua Menteri Luar Negeri di mana mereka menegaskan posisi itu.
“Kami (Negara-negara ASEAN) terus berhubung mengenai perkara ini supaya kami dapat memberikan sokongan yang mencukupi untuk inisiatif bersama Jepun atau kepimpinan dalam pembinaan semula segera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di sini hari ini.
Sebelum ini, Anwar menyatakan komitmen mengenai keperluan mendesak untuk mempercepat usaha pembinaan semula Gaza dan Palestin dengan bekerjasama dengan Jepun di bawah kerangka Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).
IInisiatif ini mencerminkan peranan proaktif Malaysia dalam mendapatkan sokongan antarabangsa serta memupuk kerjasama bagi memastikan usaha pembinaan semula di Palestin dilaksanakan secara mampan dan berkesan.
CEAPAD merupakan kerangka persidangan serantau yang dimulakan Jepun pada 2013 untuk menyokong usaha pembangunan negara Palestin dengan memanfaatkan sumber, pengetahuan dan pengalaman pembangunan ekonomi negara-negara Asia Timur.
Menyokong hasrat itu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, kedua-dua negara mempunyai pendirian sama dalam memberikan segala bentuk sokongan terutama dari segi kewangan untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan asas berkaitan untuk memulihkan semula kehidupan penduduk Gaza.
“Kita telah membincangkan perkara ini selama bertahun-tahun.
“Bukan sahaja di Palestin, tetapi juga di Syria, infrastruktur dan kemudahan asas telah musnah sepenuhnya. Keadaan di sana amat teruk dan memerlukan pemulihan segera,” katanya.
Justeru jelas Erdogan, dalam langkah yang diambil kedua-dua pihak, perlu menilai apa yang boleh dilakukan dalam aspek pembangunan semula infrastruktur dan kemudahan asas.
“ Rakan-rakan kita akan bekerjasama dalam hal ini, dan berdasarkan penilaian tersebut, kita akan membuat keputusan serta mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE